PETALING JAYA: Golongan wanita perlu diperkasa menerusi pelbagai platform dan secara menyeluruh termasuk dan bidang peragaan fesyen.
Pengurus Pengiklanan dan Promosi KWC Fashion Wholesale, Wendy Lam berkata, ia penting agar golongan wanita melihat dunia fesyen sebagai satu bidang yang luas dan bukan dalam ruang lingkup menghasilkan pakaian semata-mata.
Justeru, menurut beliau, pihaknya memperkenal program pencarian bakat khusus dalam bidang peragaan untuk dikembangkan kepada bidang lain termasuk perniagaan dan dunia seni tanah air.
“Program ini yang dinamakan pencarian KWC Model kali kelima dan melibatkan ratusan wanita menyertai pertandingan tersebut sejak tahun 2018.
“Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada wanita muda menonjolkan bakat masing-masing dan membina keyakinan diri, malah ia juga sebagai platform untuk memperkasakan wanita bukan sahaja mereka yang tidak mendapat pendidikan tinggi atau mereka bekerjaya dalam bidang fesyen, kecantikan dan hiburan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
KWC Model Search 2024 baru-baru ini dimenangi Nurul Elifa Mohd Zaini Tee atau Efa dengan membawa pulang hadiah bernilai RM3,000 bersama trofi kemenangan. Tempat kedua dimenangi oleh Amira Adilah Salehudin manakala tempat ketiga disandang oleh Putri Noradlina Hairolhizam.
Dalam pada itu Wendy Lam berkata, program pencarian kali kelima ini menerima lebih daripada 200 penyertaan dengan pelbagai aktiviti diadakan termasuk pertandingan dengan tawaran hadiah wang tunai kepada para pemenang.
“Ia terbuka kepada semua wanita Malaysia yang memiliki bakat istimewa dan minat yang mendalam dalam bidang fesyen, kecantikan dan peragaan,” katanya.
Kata Wendy Lam, objektif pencarian model ini untuk membantu memperkasakan wanita dalam bidang fesyen seiring dengan misi yang dibawakan KWC.
“Kami melihat sendiri ramai wanita yang menjadi usahawan di sini dan kami mahu mengangkat kisah mereka supaya dapat memberi inspirasi kepada wanita lain.
“Dan kami memberi platform kepada peserta untuk turut terlibat sama dalam perjalanan ini. Sebagai contoh penglibatan Raffael Models dalam memberikan latihan untuk menonjolkan bakat, kelas solekan dan peragaan sekaligus membantu peserta dalam meningkatkan keyakinan dalam diri.
“Malah kisah kejayaan pemenang KWC Model Search, Nurul Elifa Mohd Zaini Tee yang mempunyai dua anak dan terus mengejar impian dalam bidang modeling dapat memberi inspirasi kepada wanita lain supaya teruskan cita-cita sehingga berjaya,” jelasnya. – UTUSAN











