SEREMBAN: Pengeluaran dan jualan buah durian yang tinggi di seluruh negara seperti ketika ini turut secara tidak langsung meningkatkan sisa buangan kulit raja buah itu.
Keadaan tersebut menyebabkan sering berlaku sisa kulit durian turut dibuang secara haram tanpa diuruskan dengan baik sekali gus menyebabkan pencemaran.
Menyedari hal itu, sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) tampil dengan inovasi iaitu kulit durian yang dikitar semula seterusnya dijadikan sebagai kompos atau baja.
Ketua penyelidiknya, Prof. Ts. Dr. Rosnah Shamsudin berkata, projek inovasi yang diberi nama Kompos Kulit Durian tersebut telah dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama penduduk menerusi pelaksanaan Kebun Komuniti Suria Residences, Perdana College Heights, Pajam di sini.
Jelasnya, kompos merupakan hasil pereputan bahan pertanian atau bahan organik dan nutrien yang dihasilkan adalah bagus untuk digunakan sebagai pertumbuhan kepada tanaman.
“Kulit-kulit durian ini akan dicincang kepada saiz yang lebih kecil dengan teknologi UPM iaitu mesin M’SReD. Cincangan kulit ini kemudian akan digaul bersama tinja haiwan seperti tinja ayam atau kambing, daun-daun kering, reranting kecil yang boleh didapati di sekitar kebun.
“Kompos akan terhasil apabila bahan yang terhasil tiada lagi seperti rupa asal. Semua warna bahan asal akan berwarna perang yang kemudiannya akan dikeringkan pada cahaya matahari sebelum disimpan di dalam guni.
“Kompos ini boleh ditaburkan kepada tanaman sayur-sayuran pada kebun komuniti. Menerusi pendedahan kepada para pekebun komuniti bandar ia juga dapat membantu pekebun menjimatkan kos pembelian baja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurut Dr. Rosnah, penyelidikan inovasi tersebut dilakukan pihaknya sejak Oktober tahun lalu sehingga Februari lalu dan telah berjaya memenangi Anugerah Emas – Projek Komuniti, Program Pemindahan Ilmu Putra – Penghasilan Kompos Kulit Durian dalam Pameran dan Simposium Inovasi SULAM 2024 anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK), baru-baru ini.
“Inovasi ini sudah tentu dapat memberi nilai tambah kepada sisa buangan kulit buah-buahan jika diurus dengan baik dan dapat memberi keuntungan tambahan kepada pengusaha tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran.
“Pada masa yang sama, kompos organik yang dihasilkan juga dapat memastikan hasil tanaman yang menggunakan kompos ini menjadi produk organik yang baik untuk kesihatan dan persekitaran,” katanya yang turut memberitahu inovasi berkenaan bersedia untuk dikomersial dan digunakan dalam industri. –UTUSAN










