KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur berjaya membongkar kegiatan sindiket membawa masuk ribuan jeans tiruan yang menggunakan jenama terkenal dan dibawa masuk dari Bangladesh melalui Pelabuhan Klang ke ibu negara, semalam.
Serbuan dijalankan pada pukul 9.20 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota KPDN Kuala Lumpur itu bersama wakil cap dagang dengan hasil maklumat dan risikan selama tiga minggu.
Operasi di Lorong Merbau, Off Jalan Kenanga di sini mendapati modus operandi sindiket ialah menggunakan kira-kira 20 warga Bangladesh sebagai pekerja untuk mengangkat keluar kotak berisi barangan pakaian berjenama dan tidak berjenama dari kontena terbabit.
Bagi mengelak aktiviti itu mudah dikesan pihak KPDN, kerja-kerja itu dilakukan pada waktu malam tanpa mengira hari.
Selain itu, sindiket juga gagal mengaburi pihak berkuasa apabila menyusun kotak berisi ribuan seluar jeans disyaki tiruan di bahagian paling depan sebelum meletakkan timbunan kotak pakaian lain.
Dipercayai, ini juga bagi mengaburi pemeriksaan oleh pihak kastam semasa di pelabuhan.
Difahamkan pakaian itu akan dibahagikan kepada lima hingga enam ‘pemain’ di sekitar Jalan Kenanga sebelum dijual secara borong dan runcit.
Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md. Anuar berkata, siasatan pihaknya mendapati pakaian-pakaian ini diimport dari Bangladesh sebelum dihantar oleh ‘forwading agent’ kepada peniaga di sekitar Jalan Kenanga.
Katanya, serbuan pada kontena itu menemui 704 kotak berisi pelbagai pakaian untuk diperiksa.
“Kebanyakan kontena ini berisi pakaian pelbagai jenama diimport dari Bangladesh dan bukan semua barangan mempunyai cap dagangan yang berdaftar.
“Hasil serbuan telah menemui 210 kotak berisi seluar jeans yang disyaki dipakaikan dengan cap dagangan yang salah sebanyak 9,100 helai bernilai RM406,000,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, KPDN telah menahan pemandu lori kontena berusia 41 tahun untuk membantu siasatan.
Tegasnya, kesemua barang rampasan telah dibawa ke Stor Ekshibit KPDN Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019,” katanya. – UTUSAN










