Kos tinggi jejas bina infrastruktur internet di pedalaman

Kos tinggi jejas bina infrastruktur internet di pedalaman

KERATAN laporan akhbar Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kos tinggi untuk membina menara te­lekomunikasi termasuk infrastruktur lain yang berkaitan menyebabkan kawasan-kawasan terpencil di negara ini masih berdepan capaian internet.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, penempatan menara komunikasi dan infrastruktur lain memerlukan pelaburan yang besar.

Katanya, ini menjadikan kerajaan dan swasta harus berhati-hati dalam memberi keutamaan lokasi penempatan infrastruktur.

“Proses pembangunan infrastruktur tersebut melibatkan biaya yang besar mulai dari pembelian peralatan hingga kos pemasangan serta pe­nyenggaraan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Akhbar ini melaporkan, akses telekomunikasi seperti capaian internet yang lemah masih membelenggu penduduk di sesetengah kawasan di sebalik perkembangan teknologi rangkaian generasi kelima (5G) di negara ini.

Malah, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 mendedahkan matlamat memperluas liputan dan ketersambungan internet berkelajuan tinggi di kawasan luar bandar melalui peruntukan kewangan kerajaan belum tercapai sepenuh­nya.

Siraj berkata, keutamaan seringkali diberikan kepada kawasan yang lebih padat dengan populasi.

Jelasnya, kawasan dengan populasi lebih besar dianggap lebih menguntungkan secara ekonomi kerana potensi pengguna dan pendapatan yang lebih tinggi menyebabkan kawasan terpencil terjejas.

“Keutamaan mungkin diberikan kepada kawasan yang lebih padat dengan populasi, menyebabkan kawasan terpencil dipinggirkan dan tidak mendapatkan manfaat dari perkembangan teknologi serta infrastruktur,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, ketiadaan infrastruktur yang memadai di kawasan terpencil tidak hanya mempe­ngaruhi akses komunikasi tetapi juga menghadirkan pelbagai aspek kehidupan masyarakat setempat seperti akses terhadap layanan kesihatan, pendidikan dan peluang ekonomi menjadi sangat terbatas.

“Sekiranya kawasan terpencil ini tidak diberikan perhatian sepenuhnya dari sudut perkembangan akses komunikasi, saya bimbang permasalahan dari segi kesihatan, pendidikan dan peluang ekonomi di kawasan tersebut akan menjadi lebih teruk,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN