BUTTERWORTH : Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,500 tiga tahun lalu.
Nor Mohamad Hafizi Hafis Md. Arifin, 33, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di depan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan daripada seorang lelaki iaitu wang tunai sebanyak RM1,500.
Suapan tersebut didakwa diterimanya supaya tertuduh tidak mengambil tindakan ke atas seorang individu yang dikatakan melakukan kesalahan di bawah Akta Racun (1952) iaitu memiliki dua bungkus air ketum.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 1 pagi di Balai Polis Dato’ Keramat dalam Daerah Timur Laut pada 6 Julai 2021.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum dibawah seksyen 24 akta yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh yang juga seorang duda dalam rayuannya memohon hukuman diringankan atas alasan dia perlu menjaga ibu yang menghidap penyakit kanser tahap empat manakala bapanya juga tidak sihat akibat menderita penyakit usus.
Tertuduh juga mengakui bahawa itu adalah kesalahan pertama yang dibuat sepanjang berkhidmat dan insaf atas perbuatannya itu.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM10,000 selain memerintahkan tertuduh menjalani hukuman empat bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.-UTUSAN









