Komposisi penduduk muda Malaysia menurun Komposisi penduduk muda Malaysia menurun

Komposisi penduduk muda Malaysia menurun

Mohd. Uzir Mahidin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Komposisi penduduk usia penengah dan warga tua mengatasi golongan muda yang menunjukkan penurunan pada tahun ini.

Menurut statistik Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, perubahan kumpulan umur muda mencerminkan struktur piramid penduduk apabila peratusan penduduk muda kurang menduduki dalam struktur sosial masyarakat. 

Ia bermakna bilangan kumpulan umur generasi akan datang akan berkurangan secara perlahan sekali gus mengubah landskap piramid penduduk.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, komposisi penduduk umur muda berusia 0-14 tahun pada 2024 telah menurun kepada 22.2 peratus berbanding 22.7 peratus pada 2023. 

Sebaliknya kata beliau, komposisi penduduk berumur 15-64 tahun atau umur bekerja meningkat daripada 69.9 peratus pada 2023 kepada 70.1 peratus pada 2024. 

“Peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih meningkat daripada 7.4 peratus kepada 7.7 peratus bagi tempoh yang sama.

“Umur penengah penduduk Malaysia mencecah 30.9 tahun pada 2024 iaitu meningkat daripada 30.7 tahun berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika membentangkan Trend dan Analisis Kependudukan serta Demografi Malaysia 2024 bersempena Hari Penduduk Sedunia, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Uzir memaklumkan, Kelantan merupakan antara sembilan negeri yang mencapai status penuaan iaitu  komposisi penduduk umur 65 tahun dan ke atas melebihi tujuh peratus.

Beliau berkata, Perak kekal sebagai negeri paling tua dengan 9.9 peratus pada 2024, manakala Kelantan muncul sebagai negeri menua terbaharu dengan 7.0 peratus penduduk berada dalam kumpulan umur itu.

“Putrajaya mencatatkan komposisi penduduk muda atau 0-14 tahun tertinggi pada 2024 dengan 34.7 peratus. Manakala Kuala Lumpur mencatatkan komposisi penduduk umur bekerja iaitu 15-64 tahun tertinggi iaitu 75.9 peratus,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Uzir berkata, jumlah penduduk Malaysia pada 2024 dianggarkan 34.1 juta berbanding 33.4 juta pada 2023 dengan kadar pertumbuhan 1.9 peratus. 

Katanya, penduduk warganegara meningkat daripada 30.4 juta pada 2023 kepada 30.7 juta tahun ini dengan kadar pertumbuhan lebih perlahan 0.7 peratus daripada 0.8 peratus tahun sebelumnya.

“Manakala bukan warganegara menunjukkan trend yang sama dengan kadar pertumbuhan lebih perlahan sebanyak 13.6 peratus pada 2024 berbanding 17.1 peratus 2023.

“Bumiputera menyumbang 70.4 peratus daripada 30.7 juta warganegara pada 2024. Walau bagaimanapun, komposisi Cina dan India masing-masing menurun kepada 22.4 dan 6.5 peratus berbanding tahun sebelum iaitu 22.6 peratus dan 6.6 peratus,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN