BALING: Pengebumian Muhammad Luth Syauqi Nur Sufyan, 2, malam ini mengundang suasana pilu apabila jenazahnya disemadikan bersebelahan kubur abangnya, Muhammad Akil Syauqi, 3, yang masih merah.
Jenazah Muhammad Luth Syauqi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, di sini kira-kira pukul 11.30 malam tadi.
Terdahulu, jenazah dibawa ke rumah datuk dan neneknya di kampung tersebut dari Hospital Pulau Pinang (HPP) pada pukul 11.07 malam sebelum disembahyangkan di Surau Lebai Ahmad yang terletak bersebelahan tanah perkuburan itu.
Allahyarham Muhammad Luth Syauqi menghembuskan nafas terakhirnya di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HPP pada pukul 1.30 tengah hari tadi.
Abangnya, Allahyarham Muhammad Akil Syauqi terlebih dahulu dijemput Ilahi kira-kira pukul 8.30 pagi, Rabu lalu.
Dalam kejadian Ahad lalu, dua beradik itu kritikal akibat termakan keropok mengandungi serbuk racun tikus di Kampung Padang Ubi di Labu Besar, Kulim. -UTUSAN










