SHAH ALAM: “Mereka tidak berjumpa saya”.
Demikian kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai ura-ura pemimpin utama parti itu didakwa mengadakan siri perbincangan bagi menghidupkan semula kerjasama dengan Pas.
Menurut beliau, pertemuan bagi membincangkan perkara berkenaan mungkin dilakukan secara peribadi.
“Sehingga kini, mereka tidak berjumpa dengan saya. Jika ada pun, mungkin itu pendekatan dibuat secara peribadi bukan secara rasmi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Fisio dan Rehabilitasi Sukan Propain, Seksyen 13 di sini, petang ini.
Akhbar ini semalam melaporkan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendedahkan terdapat beberapa siri pertemuan bersama pemimpin UMNO yang kerap berlaku ketika ini bagi membincangkan kerjasama bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Susulan itu, Ahmad Fadhli berkata, pertemuan secara tidak formal antara pemimpin utama kedua-dua parti itu dilihat mempunyai harapan dalam menyatukan kembali undi Melayu yang kini berpecah teruk.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki turut menafikan dakwaan itu dan ia mungkin hanya berlaku dalam kalangan ahli atau penyokong, namun bukan membabitkan kepimpinan kedu-dua parti.
Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri enggan mengulas mengenai keputusan beliau sama ada mahu mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan parti akan datang.
”Pemilihan parti akan berlangsung pada 2026. Tahun depan baru 2025. Jadi, ia lama lagi,” ujarnya.
Minggu lalu, beliau menjelaskan dirinya sentiasa bersikap terbuka sekiranya dua jawatan utama dalam parti itu dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Semua perkara itu bergantung kepada keputusan yang akan dibuat pada peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).- UTUSAN










