KOTA KINABALU: UMNO Sabah akan memeterai perjanjian kerjasama dengan parti-parti lain sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17).
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sebarang bentuk kerjasama akan diputuskan sebelum pilihan raya bagi memastikan pengalaman lepas tidak berulang.
Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, UMNO sudah melalui pengalaman membentuk kerjasama selepas PRN lalu bagi membentuk kerajaan namun, parti ini seolah-olah ‘melukut ditepi gantang’.
Jika dilihat pada PRN lalu, UMNO memperoleh lebih banyak kerusi berbanding parti lain. Jadi, pengalaman lepas menjadi pengajaran kepada UMNO untuk tidak mengulangi kesilapan sama.
“Kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi pilihan raya akan dibuat sebelum PRN Sabah. Pengalaman lampau cukup memberi pengajaran kepada UMNO untuk lebih berhati-hati memilih parti gabungan menjelang pilihan raya,” katanya semasa merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Beaufort baru-baru ini.
Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata, berdasarkan situasi politik semasa, tiada mana-mana parti akan menjadi dominan untuk membentuk kerajaan bersendirian tanpa kerjasama dengan parti-parti lain.
“Kita akan bekerjasama dengan parti politik yang menghormati perjanjian yang dimeterai dan memberi manfaat kepada UMNO dan negeri Sabah.
“Kita juga akan melihat rakan-rakan yang ada kesetiaan dan keikhlasan dalam memperjuangkan nasib rakyat Sabah. Kita tidak mahu lagi ada krisis dalaman yang akan mengganggu usaha membangunkan Sabah,” katanya. – UTUSAN










