KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memberitahu pihaknya tidak mengetahui aktiviti cari gali batu kecubung atau amethyst yang dikatakan banyak dilakukan di Jajahan Jeli ketika ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan bagaimanapun, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan laporan atau maklumat mengenai aktiviti tersebut ada di peringkat jabatan.
“Kadangkala perkara sebegini adalah aktiviti masyarakat setempat dan dijalankan dalam kawasan tanah milik mereka. Kita juga perlu melihat sama ada ia benar-benar menyalahi Enakmen Mineral Kelantan 2001 atau sebaliknya.
“Kalau betul ia menyalahi peraturan dmaka kita akan hantar penguat kuasa kita untuk tindakan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2023 Kerajaan Negeri Kelantan di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Tunjong, di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-undang negeri berkata, kerajaan negeri tetap akan mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti meneroka hutan atau mineral secara haram.
“Sebarang aktiviti meneroka sama ada melibatkan hasil hutan atau mineral yang memerlukan prosedur-prosedur kerajaan, jika dibuat secara haram sememangnya menyalahi undang-undang kerana ia melibatkan harta rakyat.
“Tambahan pula kerajaan negeri kini sedang meneroka sumber-sumber baharu negeri. Jadi pegawai penguat kuasa kita memang sentiasa melakukan pemantauan dan penguatkuasaan. Sekiranya ditemui tindakan tegas akan diambil,” ujarnya.
Sebelum ini tular di aplikasi Tiktok apabila ada penduduk memuat naik kandungan berkait cari gali batu itu di Jeli.- UTUSAN







