31,600 jemaah kita antara 2 juta umat Islam berwukuf hari ini

31,600 jemaah kita antara 2 juta umat Islam berwukuf hari ini

MOHD. Na’im Mokhtar bersalaman dengan jemaah haji Malaysia yang berlepas ke Arafah dari Abraj Al Tayseer, Mekah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Seramai 31,600 jemaah haji Malaysia menyertai hampir dua juta umat Islam dari seluruh dunia bergerak ke Arafah bagi me­laksanakan ibadah wukuf.

Perjalanan dilakukan secara berperingkat bermula sebelah pagi, dengan umat Islam yang menjadi duyufurrahman akan mula wukuf di Arafah hari ini (9 Zulhijjah), mulai gelincir matahari (Zuhur) sehingga terbit fajar (Subuh) pada malam Aidiladha.

Ia disusuli bermalam di Muzda­lifah dan melontar tiga jamrah di Mina sehingga 13 Zulhijjah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pergerakan jemaah haji Malaysia bermula pukul 7.31 pagi waktu tempatan mengikut jadual ditetapkan pihak Al Masiah (Masyarik) dan Tabung Haji (TH).

“Selain itu, seramai 80 jemaah haji sakit dan uzur akan dibawa melakukan ibadah wukuf di Padang Arafah menerusi program Safari Wukuf bermula hari ini.

“Sebanyak lapan buah bas khas yang telah diubah suai tempat duduknya menjadi seperti katil akan digunakan untuk membawa jemaah haji uzur tersebut ke Padang Arafah,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, jemaah akan bergerak secara berperingkat mengikut maktab masing-ma­sing, bagi memastikan perjalanan yang teratur dan selesa.

“Keberangkatan ini terbaha­gi kepada tiga pusingan yang melibatkan sebanyak 20 hingga 31 buah bas untuk setiap maktab mengikut KT serta bergantung kepada jumlah jemaah di setiap maktab.

“Pergerakan adalah secara Taraduddiah atau shuttle bas dengan jarak perjalanan sejauh 20 kilometer dari Mekah ke Arafah yang mengambil masa di antara 45 hingga 60 minit,” katanya.

Katanya, pihak TH dan Masyarik menjangkakan kese­luruhan operasi membawa jemaah ke Arafah mengambil antara enam ke lapan jam.

Jelas beliau, seramai 195 petugas kebajikan dan perubatan digerakkan ke Arafah malam semalam bagi membuat persediaan terakhir me­nyambut ketibaan jemaah haji di bumi Arafah.

Tambahnya, seramai 385 Sahabat Maktab (sukarelawan) dalam kalangan jemaah haji daripada 11 maktab akan membantu kelancaran operasi Masyair tahun ini.

Berikutan suhu di Mekah dilaporkan mencecah sehingga 51 darjah Celsius pada musim haji tahun lalu, Kerajaan Arab Saudi membuat beberapa larangan baharu bagi menjaga keselamatan pada jemaah.

Antara arahan tersebut, jemaah haji dikenakan ‘lockdown’ bermula pukul 10 pagi sehingga 4 petang bagi mengelakkan mereka pergi ke Masjid Namirah dan Jabal Rahmah berikutan risiko strok haba.

Kerajaan Arab Saudi turut menyatakan komitmen untuk menyediakan bas-bas yang mencukupi dalam usaha membendung jemaah berjalan kaki dari Mekah ke Arafah.

Larangan-larangan ini bagi mengelakkan kejadian sama tahun lalu berulang apabila lebih 2,700 kes strok haba dilaporkan sehari sehingga me­ngakibatkan kematian.

Setakat ini, seramai tujuh jemaah haji Malaysia telah meninggal dunia di Mekah dan Mohd. Na’im memberitahu, waris mereka telah dimaklumkan oleh pihak TH.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN