PETALING JAYA: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menjadi referendum atau satu isyarat jelas bahawa rakyat menolak kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran beberapa isu menyentuh kebajikan rakyat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kekalahan Pakatan Harapan (PH) di tangan Perikatan Nasional (PN) juga membuktikan rakyat menolak pemimpin sombong dan angkuh kerana sengaja pekakkan telinga dan butakan hati terhadap penderitaan rakyat terbeban akibat kenaikan kos sara hidup.
Malah kata Setiausaha Agung PN itu, keputusan PRK Sungai Bakap mencerminkan penolakan rakyat terhadap langkah kerajaan meneruskan urusniaga bersama Blackrock berhubung pembelian saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).
“Referendum Sungai Bakap ini juga adalah bukti rakyat tolak pemimpin yang khianati janji. Janji harga minyak turun tapi bila sudah berkuasa, diesel dinaikkan harga sehingga RM3.35 seliter.
“Kemenangan PN ini juga adalah referendum rakyat tolak pemimpin yang penuh dengan drama, di satu sisi perlihat beliaulah pejuang Palestin terhebat, tetapi di sisi lain mengabaikan teguran rakyat untuk menghentikan urusniaga bersama BlackRock dalam pembelian saham MAHB.
“Referendum ini juga menjadi bukti bahawa rakyat tolak pemimpin yang cakap tak serupa bikin, kononnya dialah pejuang anti rasuah tetapi bila melibatkan kes rakan-rakan sendiri dipejamkan mata dan dibiarkan begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan PN kekal menguasai kerusi apabila calonnya, Abidin Ismail memperoleh kemenangan selesa pada hari pengundian semalam.
Abidin, 56, yang juga Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin, 60, dengan majoriti 4,267 undi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, penyandang kerusi DUN Sungai Bakap sebelum ini iaitu Alllahyarham Nor Zamri Latiff yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal diangkat menjadi wakil rakyat selepas menewaskan calon PH ketika itu, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Menurut Hamzah, lonjakan majoriti sebanyak 4,267 undi yang diterima calon PN itu adalah satu petanda jelas bahawa rakyat menolak kerajaan pimpinan Anwar.
“Kemenangan ini bukan sahaja membuktikan sokongan padu pengundi Melayu tetapi menandakan secara jelas bahawa PN sudah menjadi wadah utama politik rakyat berbilang kaum, yang mahukan keadilan kepada semua pihak serta menolak kezaliman.
“Terima kasih kepada pengundi Sungai Bakap dan tahniah buat seluruh jentera pilihan raya Perikatan Nasional yang bertungkus-lumus sejak dari hari pertama kempen,” katanya. –UTUSAN










