Kepincangan dalaman punca PH tewas di Sungai Bakap

Kepincangan dalaman punca PH tewas di Sungai Bakap

ABIDIN Ismail (tengah) dipilih menjadi wakil rakyat baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungap Bakap selepas memenangi kerusi itu dalam pilihan raya kecil, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kepincangan dalaman DAP dan Pakatan Harapan (PH) mengheret pengundi mereka sendiri untuk melakukan protes dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, kelmarin sekali gus memberi kemenangan besar kepada Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, ia menjadi punca utama pe­ngundi menolak PH sehingga menyebabkan jumlah pengundi Cina dan India merosot antara 10 hingga 13 peratus.

“Pertambahan undi PN di Sungai Bakal bukan kerana pe­ningkatan sokongan terhadap PN. Ini kerana kalau kita melihat dari peratusan keluar me­ngundi, pengundi India dan Cina jauh lebih rendah berban­ding pengundi Melayu yang menyokong calon Pas tersebut.

“Saya menjangkakan ini adalah undi protes dari pengundi PH terhadap kepemimpinan kerajaan negeri kerana DAP itu ada masalah dalaman sendiri dan masalah itu juga berkait dengan bekas ahli DAP yang memperoleh majoriti besar sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Kelmarin, PN mempertahan kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dalam PRK kawasan itu dengan majoriti 4,267 undi.

Bekas eksekutif logistik itu memperoleh 14,489 undi, menewaskan pencabarnya dari PH, Dr. Joohari Ariffin yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang meraih 10,222 undi.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, momentum kemenangan diraih PN Sungai Bakap itu diramal dibawa ke PRK Nenggiri pula dengan formula yang sama iaitu kesan kenaikan harga barang yang menekan rakyat.

“Kemenangan di Sungai Bakap ini membuatkan PN lebih bersemangat kerana di Nenggiri adalah kubu kuat Pas seperi mana di Sungai Bakap.

“Jadi, isu yang digunakan adalah kenaikan harga diesel dan mereka berasakan yang kerajaan akan menaikan RON95. kenaikan diesel ini dikatakan membawa kesan kenaikan harga barang dan kerajaan akan buat rasionalisasi untuk petrol juga.

“Ini membuatkan orang bukan Melayu di Sungai Bakap marah yang mana pengundi Cina yang datang undi hanya 44 peratus. Isu diesel ini, kumpulan M40 dan T20 kena bayar harga lebih mahal, ini yang menimbulkan kemarahan mereka dan menolak PH pada PRK Sungai Bakap,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×