KenariCare usaha KDA kukuh kewangan kelab - Utusan Malaysia

KenariCare usaha KDA kukuh kewangan kelab

MOHD. Daud Bakar (dua kanan) bersama Asward Mahadzir (dua kiri) menunjukkan replika kad keahlian KenariCare pada majlis pelancaran di Pejabat KDA FC di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: ‘Badai’ kewangan melanda Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menuntut kelab tersebut berusaha lebih kreatif bagi menjana pendapatan termasuk usaha terbaharu memperkenalkan kad keahlian KenariCare.

Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, melalui kad keahlian itu, penyokong tidak hanya dapat ‘berbakti’ dengan memberi sumbangan kepada kelab, malah turut menerima perlindungan manfaat takaful hayat sehingga RM100,000.

Beliau berkata, usaha sama dengan ECG Capital Sdn. Bhd. itu turut menawarkan diskaun pembelian di lebih 30 rangkaian niaga terpilih, barangan rasmi KDA FC serta diberi keutamaan untuk membeli tiket di Stadium Darul Aman.

“Ini antara inisiatif yang kami ambil bagi menyediakan platform kepada penyokong dan peminat setia terlibat dalam pembangunan KDA. Penyokong dapat menikmati perlindungan takaful selain membantu kelab menjana kewangan demi kelangsungan pasukan.

“Kami sasar sekurang-kurangnya 100,000 keahlian dapat dicapai menjelang Disember 2025 dengan sebahagian daripada yuran keahlian bulanan itu akan digunakan bagi membiayai operasi pasukan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat KDA FC di sini, hari ini.

Tambah Mohd. Daud, pihaknya turut berharap supaya sektor korporat dapat bersama-sama membantu KDA melalui langganan keahlian KenariCare kepada kakitangan masing-masing dengan menjadikannya sebagai manfaat pekerjaan.

“KenariCare merupakan salah satu daripada tiga produk diperkenalkan bagi mengubah landskap ekonomi KDA FC. Produk kedua yang diharap mengubah landskap ekonomi kami adalah air mineral yang akan dilancarkan pada 25 Julai bersama jersi rasmi pasukan.

“Selain itu fokus kami adalah pengenalan sistem solar di rumah-rumah yang akan dilancarkan minggu depan. Semua itu akan menjana kewangan lebih kukuh buat KDA FC selain memberi manfaat besar kepada penyokong,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECG Capital, Asward Mahadzir berkata, pihaknya ketika ini sedang berunding untuk memperluaskan lagi manfaat yang akan diperolehi oleh pemegang kad berkenaan.

“Kami menyasarkan akan ada 80 hingga 100 rakan strategik untuk bersama KenariCare menjelang hujung tahun ini. Itu bermakna para penyokong boleh menerima lebih manfaat dengan kad ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN