NIBONG TEBAL: Bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap bagaikan kurang terasa apabila perang poster dan bendera antara parti yang bertanding dilihat masih belum mencapai kemuncaknya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, setakat ini juga, pelbagai bahan kempen sama ada poster, bendera, kain rentang atau gegantung daripada Pakatan Harapan (PH) lebih mendominasi suasana kempen berbanding Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, bahan kempen tersebut dilihat lebih menonjol di kawasan tertentu sahaja terutamanya di sekitar bandar atau pekan manakala di kawasan-kawasan kampung atau sedikit pedalaman, kibaran bendera atau bilangan poster dapat dikira dengan jari.
Pada masa yang sama, faktor media sosial yang semakin berkembang pesat menjadikan calon yang bertanding bijak menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok untuk mendekati pengundi berbanding kaedah tradisional seperti memasang bendera dan poster.
Justeru, jika ditinjau di laman sosial TikTok, kedua-dua calon yang bertanding iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr. Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN), kedua-duanya tidak kalah dari segi ‘posting’ dan ‘content’ untuk menarik pengundi.
Mengakui perkara tersebut, calon PH bagi kerusi DUN Sungai Bakap, Joohari berkata, selain mendekati pengundi dengan berkempen dari rumah ke rumah, dia dan pasukan kempen turut menggunakan media sosial terutama medium TikTok bagi memastikan pengundi mengenalinya.
Joohari atau lebih dikenali sebagai Cikgu Joo berkata, dia dan pasukannya perlu bijak menggunakan media sosial untuk mendekati pengundi tanpa mengira usia dan latar belakang.
“Media sosial terutama TikTok memainkan peranan penting pada masa ini untuk membentuk pemikiran pengundi.
“Kalau dahulu kita jangka hanya orang muda yang akan melihat content di TikTok, namun masa telah berubah di mana semua golongan telah mahir menggunakan media sosial.
“Berdasarkan pengalaman turun padang bertemu pengundi, pengundi yang dikategori dalam usia emas pun melayan TikTok sekarang, mereka beritahu saya setiap hari mereka akan lihat TikTok,’’ katanya di sini semalam.
Menurut Cikgu Joo, setiap hari dia dan pasukannya akan memuat naik kandungan kempen yang menarik di media sosial termasuk di TikTok.
“Kita dapat lihat content di TikTok ‘hits’ paling tinggi yang kami pernah capai ialah 240,000 hits, dan setiap hari memang ada content yang kita akan buat untuk menarik pengundi.
“Zaman telah berubah dan kita perlu mengikutinya bagi memastikan maklumat yang kita mahu sampaikan pada pengundi menepati sasaran,” katanya.
Selain itu, katanya, content di TikTok juga dapat mempengaruhi pengundi yang berada di luar kawasan untuk pulang mengundi pada hari pengundian nanti.
“Kita berharap pengundi yang tinggal di luar akan pulang dan kita yakin saluran kita TikTok akan membantu pengundi membuat pilihan,” katanya. – UTUSAN










