KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi akan mengadakan pertemuan dengan beberapa agensi kerajaan berhubung kes buli siber terhadap pempengaruh media sosial, A. Rajeswary atau lebih dikenali sebagai Esha dalam TikTok.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pertemuan bersama agensi kerajaan itu akan membincangkan potensi untuk meminda beberapa akta berkaitan siber buli.
“Kita sudah panggil pihak TikTok untuk adakan pertemuan minggu hadapan. Pada masa sama saya telah mengadakan mesyuarat bersama Datuk Seri Azalina Othman (Menteri Dalam Negeri); wakil Kementerian Dalam Negeri; Timbalan Menteri Digital, Teo Nie Ching dan wakil Jabatan Peguam Negara untuk meneliti sejumlah akta yang mungkin boleh diperketat atau pinda bagi tujuan mengambil tindakan segera menangani buli siber.
“Pada masa sama, ada pandangan yang ingin mendapatkan penjelasan takrif buli siber itu. Selain aspek perundangan, polis juga sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) kerana mereka penyedia perkhidmatan teknikal, namun polis yang akan menjalankan siasatan.
“Berkenaan beberapa akaun yang dalam siasatan, kita serahkan kepada polis. Saya tiada maklumat terperinci tentang siasatan tersebut,” katanya.
Beliau ditemui dalam Majlis Penyerahan Topi Keledar Percuma di Sekolah Kebangsaan Bangsar di sini, hari ini. – UTUSAN









