Kementerian Digital cadang tubuh Suruhanjaya Data

Kementerian Digital cadang tubuh Suruhanjaya Data

GOBIND SINGH DEO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Digital bercadang menubuhkan Suruhanjaya Data bagi memperkukuhkan pengurusan dan keselamatan data rakyat Malaysia. 

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, kementeriannya merancang meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 bagi tujuan penubuhan suruhanjaya itu. 

Katanya, pindaan itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac depan atau pertengahan tahun depan.

“Saya telah mencadangkan bahawa kita wujudkan satu Suruhanjaya Data, kita ada Pesuruhjaya Data tetapi tidak ada suruhanjaya lagi. 

“Apa yang wujud adalah jawatankuasa. Jadi, apa yang hendak difokuskan adalah kita akan menggunakan platform jawatankuasa dahulu dan kita akan bangunkan Suruhanjaya Data. 

“Bergerak ke hadapan kita akan mencadangkan kepada kerajaan supaya jawatankuasa itu dijadikan suruhanjaya supaya ia dapat memfokuskan lebih kepada aspek data yang sangat penting,” katanya dalam sidang akhbar. 

 

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan perjanjian kerjasama antara Digital Nasional Berhad dan Cybersecurity Malaysia di My5G Portal, Exchange 6, TRX, hari ini.

Menurut Gobind, suruhanjaya tersebut juga berikutan banyak teknologi baharu akan bersandarkan kepada kecerdasan buatan (AI). 

Oleh itu, katanya, semua sedia maklum bahawa aspek paling penting untuk menjayakan teknologi itu adalah data.

“Kita lihat pelaburan daripada Google dan Microsoft dan sebagainya, jumlah pelaburan cukup besar. 

“Jadi, kita lihat aspek itu kepada persoalan yang timbul adakah kita mempunyai polisi atau kerangka perundangan mencukupi untuk kita melindungi data dan juga untuk kita menggariskan polisi yang akan membolehkan penggunaan data, tetapi dalam masa sama memastikan keselamatan diberikan keutamaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN