BAGAN SERAI: Dianggarkan lebih separuh daripada 1,817 hektar sawah padi yang baru ditanam di Kompartmen E di Alor Pongsu di sini, rosak disebabkan Tasik Bukit Merah tidak dapat membekalkan air apabila tasik itu kering sejak bulan lalu.
Pengairan untuk sawah padi di Bagan Serai dihentikan sepenuhnya oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian pada 28 Jun lalu, berikutan paras arir tasik itu yang semakin menurun.
Ia menyebabkan padi yang baru ditanam 40 hari lalu bertukar warna daunnya menjadi kekuningan dan jika masih tiada air dibekalkan, kemungkinan tanaman itu mati.
Seorang pesawah, Ahmad Fauzi Jelani, 42, berkata, sebahagian besar kawasan yang terlibat dengan masalah air menyebabkan tanahnya kering-kontang.
Katanya, daun padi di bawah usia 45 hari menjadi layu dan kekuningan manakala bahagian petak sawah yang mengandungi air kini ditumbuhi keladi agas.
“Keladi agas boleh menjadi ancaman kepada pertumbuhan padi kerana ia membiak dengan cepat sehingga boleh memenuhi petak sawah.
“Saya sudah mengusahakan sawah padi milik keluarga lebih 27 tahun sebagai punca pendapatan dan tidak pernah mengalami keadaan yang teruk disebabkan kemarau.
“Saya mengeluarkan modal RM1,000 bagi penanaman musim ini untuk benih, upah mesin traktor, racun dan lain-lain. Namun disebabkan kemarau sehingga air tidak dapat dibekalkan ke sawah, padi yang baru ditanam sukar untuk tumbuh malah tanah sawah kering kontang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, pihak yang berkenaan termasuk Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan JPS daerah ada menyediakan pam air di hadapan pintu masuk kampung tersebut.
Namun, katanya, kuantiti air yang dipam dari saliran utama untuk masuk ke dalam parit utama kampung dan kemudian disalurkan ke parit tidak mencukupi.
“Hanya petak sawah yang berada di kawasan hadapan dan di tanah rendah menerima bekalan air dari pam yang disediakan.
“Ini menyebabkan tanah yang tidak menerima bekalan air kering-kontang serta merekah, hingga menyebabkan tanaman padi bukan sahaja tumbesarannya terbantut malahan ada yang menjadi layu dan kekuning-kuningan,” katanya. – UTUSAN











