CYBERJAYA: Kem Angkasa Kebangsaan 2024 yang diadakan buat julung kalinya bakal mendedahkan para pelajar serta masyarakat tentang misi angkasa Malaysia Space Exploration 2030, di samping menarik minat mereka terhadap sains dan teknologi angkasa.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, program itu juga bermatlamat mengetengahkan potensi kerjaya dalam bidang angkasa dan membina kepakaran bagi industri angkasa tempatan selaras dengan Strategi 1 Teras Pembangunan Modal Insan dalam Pelan Strategik Industri Angkasa 2030.
Menurut beliau, program tersebut menyasarkan sehingga 1,000 peserta terdiri daripada pelajar sekolah, universiti termasuk orang awam bagi setiap siri yang akan diadakan di lima negeri bermula Oktober sehingga awal Disember depan.
“MOSTI yakin usaha ini dapat menarik minat pelajar terhadap pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta membina asas bakat tempatan.
“Dengan usaha bersama, kita yakin dapat melahirkan generasi muda berkemahiran tinggi dalam bidang sains dan teknologi khusunya dalam sektor angkasa selari dengan fokus kerajaan yang menumpukan kepada ‘high growth high value sectors’,” katanya pada majlis pelancaran Kem Angkasa Kebangsaan 2024 di MIGHT Partnership Hub di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Lih Kang berkata, selain penganjuran kem angkasa, beberapa acara satelit turut dianjurkan.
Selain itu, katanya, peserta juga berpeluang untuk berinteraksi dengan angkasawan NASA, Charles D. Gemar semasa menyertai kem tersebut.
“Antara program yang akan diperkenalkan ialah Malaysia Space Exploration 2030, aktiviti penerokaan planet Marikh serta mengetengahkan peluang kerjaya.
“Terdapat tenaga pengajar yang akan dijemput termasuk angkawasan yang akan mengadakan ceramah, selain kehadiran rakan-rakan industri dan universiti,” ujarnya.
Tambahnya, program pembudayaan sains yang bertemakan ‘Teknologi dan Pengembaraan Angkasa’ itu merupakan kerjasama Apadilangit (Langit Kita Sdn Bhd) dan Starlight Education UK dengan sokongan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Malaysian Industry-Government Group for High Technology dan Malaysian Space Industry Consortium.
Katanya lagi, pelajar yang berminat untuk mendaftar dalam program ini dipelawa untuk mendapatkan maklumat lanjut di laman sesawang www.nationalspacecamp.com dan www.apadilangit.com serta di semua media sosial Apadilangit. – UTUSAN










