ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meneruskan rentak kemenangan apabila mudah menundukkan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, malam ini.
Gawang pelawat diuji seawal minit ketiga menerusi ancaman dilakukan pemain pertahanan dari Brazil, Jose Cleylton. Namun tandukan dilakukan pemain berketinggian 1.9 meter itu tepat ke dakapan penjaga gol KDN FC, Muhaimin Mohamad.
Serangan berterusan dilakukan KDA FC akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-9. Rembatan deras pertahanan kanan, Rizal Ghazali dari dalam kotak penalti gagal ditepis Muhaimin untuk gol pertama tuan rumah.
Sang Kenari berpeluang menambah jaringan pada minit ke-29. Aksi akrobatik dilakukan penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad bagaimanapun gagal menghasilkan gol apabila bola hasil sepakan gunting dilakukannya melepasi palang.
Memasuki babak kedua, perlawanan berlangsung hambar dengan kedua-dua pasukan kelihatan buntu untuk memasuki kubu lawan selain bola lebih banyak berlegar di tengah padang.
Syafiq bagaimanapun secara tiba-tiba melakukan ‘magis’ apabila melepaskan rembatan dari jarak kira-kira 30 meter yang menerjah jaring lawan untuk gol kedua Sang Kenari pada minit ke-58.
Minit ke-72, giliran Sony Norde menggegarkan stadium ldengan gol ketiga buat Sang Kenari. Pemain dari Haiti itu yang berseorangan dalam kotak penalti lawan, menerima lorongan cantik dari Milos Gordic untuk dia mudah melakukan kuisan menewaskan penjaga gol pelawat.
Peluang terakhir KDN FC untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu gol hadir pada masa tambahan namun tandukan penyerang mereka hanya melepasi palang untuk kedudukan kekal 3-0 memihak tuan rumah. -UTUSAN








