ALOR SETAR: Setelah lebih dua bulan menanti, penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC akhirnya akan dapat melihat sendiri jersi rasmi pasukan kesayangan mereka yang bakal dilancarkan pada 25 Julai ini melalui platform digital.
Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, ketika ini jersi tersebut masih berada dalam proses pengilangan di luar negara.
“Selepas pengenalan secara digital, program pelancaran secara fizikal akan diadakan keesokan harinya sempena perlawanan Liga Super menentang Kuching City FC di Stadium Darul Aman.
“Jadi ramai-ramai kita nantikan pelancaran jersi ini dan sama-sama kita datang ke karnival sepanjang hari pada 26 Julai nanti,” katanya dalam sidang akhbar melalui Facebook KDA di sini, hari ini.
Ketika ini, KDA FC masih mengenakan jersi pra musim dalam setiap perlawanan memandangkan pasukan tersebut masih belum mempunyai penaja utama.
Mei lalu, KDA FC pada awalnya mendakwa telah menerima tawaran sebuah syarikat untuk menjadi penaja utama namun berlaku insiden tidak diduga hingga menyebabkan syarikat itu berdepan masalah besar sekali gus mengakibatkan Sang Kenari terpaksa menolak tawaran tajaan mereka pada saat akhir.
Mengulas mengenai isu penajaan pasukan, Mohd. Daud berkata, terdapat banyak perkembangan positif berhubung perkara itu dengan pihaknya kini dalam proses untuk memuktamadkan beberapa penaja berpotensi.
“Kita sedang muktamadkan terutamanya penaja utama dan kedua. Insya Allah kita akan umumkan apabila ada ‘hitam putih’ dari pihak penaja dalam masa terdekat atau sebelum pelancaran jersi baharu.
“Kita doalah banyak-banyak kerana pasukan ini memerlukan penajaan untuk memastikan kelab dapat meneruskan perjuangan dalam era penswastaan ini,” katanya.
Dalam pada itu, KDA amat mengharapkan sokongan penyokong agar dapat memenuhi Stadium Darul Aman esok bagi memberi sokongan dalam perlawanan kedua suku akhir Piala FA menentang Penang FC.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Shahrul Samsudin berkata, pihaknya memasang impian untuk melihat stadium itu dipenuhi 25,000 penyokong buat kali pertama musim ini, setelah pemain jelas menampakkan kesungguhan untuk berjuang di padang.
“Harapan kita sangat tinggi untuk melihat Stadium Darul Aman kembali dipenuhi penyokong bagi memberi semangat kepada para pemain melangkah ke separuh akhir Piala FA.
“Ketika pemain sudah menunjukkan kemahuan untuk berjuang, sokongan padu penyokong amat penting buat mereka. Kami di pihak pengurusan juga akan berusaha untuk menarik penyokong ke stadium menerusi penganjuran karnival mini pada hari perlawanan itu nanti,” katanya. -UTUSAN










