JOHOR BAHRU: Keberkesanan Sekolah Rintis Johor yang bakal diperkenalkan tahun depan dijangka dapat dilihat hasilnya dalam tempoh seawal dua tahun.
Untuk menjayakan hasrat itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, guru-guru yang terlibat akan dipersiapkan dengan kurikulum dan ilmu yang diperlukan sebelum program bermula pada sesi persekolahan Februari 2025.
“Tak mungkin projek ini mampu menampakkan hasil sekelip mata, saya rasa ia perlukan setahun atau dua tahun untuk melihat program ini berjaya,” katanya ditemui selepas menutup program Gegar Gerak Kerjaya Mega Myfuturejobs Johor 2024 di Stadium Tertutup MBJB Arena, Larkin, di sini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin.
Onn Hafiz berkata, pihaknya telah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bagi membentangkan cadangan gerak kerja yang akan dilaksanakan.
“Semalam (kelmarin), saya bersama-sama Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan Exco Pendidikan menghadap Pemangku Sultan Johor bagi membayangkan cadangan gerak kerja yang akan dijalankan dan telah mendapat perkenan baginda.
“Ia sedang diperhalusi oleh pihak Kementerian Pendidikan. Kita juga sudah mulakan program latihan bagi guru yang terlibat dalam program rintis ini supaya dapat menguasai kurikulum dan ilmu yang diperlukan untuk mendidik pelajar,” katanya.
Sabtu lalu, Onn Hafiz memaklumkan Sekolah Rintis Johor merupakan langkah permulaan mencorakkan masa depan pendidikan Bangsa Johor yang lebih maju dan berdaya saing.
Menurutnya, tumpuan khusus akan diberikan terhadap penguasaan dalam bidang Sains, Teknologi, Engineering, Matematik (STEM) dan Bahasa Inggeris, sejajar dengan titah Tunku Mahkota Ismail yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz memberitahu, kerajaan negeri ketika ini sedang meneliti empat sekolah yang sesuai terlibat dalam Sekolah Rintis Johor.
“Kita sedang melihat sekolah mana, apa yang dicadangkan haruslah membabitkan sekolah rendah dan sekolah menengah supaya ada kesinambungan antara dua tahap pembelajaran itu,” jelasnya. – UTUSAN










