Kanak-kanak dibiar tidur luar rumah tidak didera fizikal - Exco 

Kanak-kanak dibiar tidur luar rumah tidak didera fizikal – Exco 

Khairin-Nisa Ismail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kanak-kanak berusia 13 tahun yang diabaikan kedua ibu bapa dengan tidak dibenarkan memasuki kediaman keluarga tersebut di Taman Air Biru, Pasir Gudang di sini bukan mangsa penderaan fizikal.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, perkara itu disahkan selepas pemeriksaan kesihatan dibuat pegawai perubatan.

“Kanak-kanak itu kini ditempatkan di Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk kita beri rawatan yang diperlukan.

“Pemeriksaan pihak doktor mendapati dia tidak didera secara fizikal, tetapi kita akan teruskan siasat dengan lebih teliti terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tambah Khairin-Nisa, siasatan awal mendapati mangsa bukan dihalang pulang ke rumah tetapi sebaliknya dia takut untuk masuk kerana bimbang dimarahi atau dipukul bapanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak memberitahu pihaknya menahan pasangan suami isteri kerana menghalang anak lelaki mereka daripada memasuki rumah sehingga terpaksa tidur di kaki lima perumahan flat keluarga berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, kanak-kanak itu telah diperlakukan sedemikian sejak 7 Julai lalu sebelum diselamatkan polis, kelmarin.

Sehubungan itu, suami isteri warga tempatan yang berusia 54 dan 56 tahun itu ditahan reman selama lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN