KUALA LUMPUR: Isu matlamat pelaksanaan Kampung Angkat Madani, kriteria pemilihan sesebuah kampung serta kelebihan dinikmati terutama melibatkan prasarana, kemudahan dan pembangunan ekonomi antara tumpuan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) akan bertanya soalan itu kepada Menteri Kewangan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) pula meminta Menteri Pendidikan menyatakan jika prosedur terkait Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) berbeza bagi sekolah selain di bawah kementerian itu susulan isu pelajar cemerlang tidak mendapat tempat di universiti pilihan pertama atau Sekolah Berasrama Penuh (SBP) kerana markah kosong.
Beliau juga mahu tahu tindakan bagi kes seperti itu dan langkah penyelesaian yang akan diambil supaya isu itu tidak berulang.
Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan pelan memperkasakan Institut Latihan Perindustrian (ILP) untuk memastikan tenaga kerja negara dilatih bagi memenuhi keperluan industri, termasuk industri berkemahiran tinggi.
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) pula meminta Menteri Ekonomi menyatakan ketersediaan kerajaan dari segi data dan mekanisme untuk melaksanakan penyasaran subsidi melibatkan bahan keperluan lain termasuk beras.
Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (PN-Kuala Terengganu) akan mengajukan soalan kepada Menteri Ekonomi berhubung inisiatif kerajaan meningkatkan penguasaan ekonomi bumiputera dan cara meningkatkan penyertaan syarikat tempatan Bumiputera dalam sektor berimpak tinggi.
Selepas sesi itu, Dewan Rakyat akan menyambung perbahasan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024.
Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 15 hari sehingga 18 Julai ini. – UTUSAN










