TAIPING: Tiga kakitangan Kementerian Kesihatan cedera seorang daripadanya parah apabila ambulans membawa pesakit yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di bahu jalan di Tol Kamunting menghala ke Taman Berkat di sini hari ini.
Seorang pesakit yang menaiki ambulans tersebut turut mengalami kecederaan parah dalam kemalangan tersebut.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 3.30 pagi.
Katanya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting ke lokasi kejadian.
“Ambulans tersebut dalam perjalanan pulang dari Hospital Taiping membawa seorang pesakit lelaki warga emas yang baru menjalani ujian CT Scan di Hospital Taiping untuk ke Hospital Parit Buntar.
“Tiba dilokasi, ambulans tersebut terbabas masuk ke dalam parit dibahu jalan menyebabkan kesemua mereka mengalami kecederaan,” katanya.
Menurutnya, pesakit warga emas lelaki berusia 68 tahun yang dibawa dalam ambulans dan seorang kakitangan KKM berusia 57 tahun mengalami kecederaan parah.
Katanya, dua lagi kakitangan KKM iaitu pemandu dan pembantu ambulans mengalami kecederaan ringan.
“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Taiping menaiki EMRS dan kenderaan KKM untuk tindakan seterusnya,” katanya. – UTUSAN











