PETALING JAYA: Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) menyelaraskan tambang perkhidmatan Rapid Mobiliti di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada kadar RM7.
Kadar tersebut untuk dua orang bagi setiap tempahan iaitu seorang penumpang orang kelainan upaya (OKU) dan seorang pengiring.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata, kadar tambang baharu ini lebih murah dan berpatutan dengan perkhidmatan ditawarkan dan selaras dengan peningkatan kos sara hidup yang kian meningkat.
“Perkhidmatan Rapid Mobiliti yang kini tampil berwajah baharu menjadi satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Rapid Bus.
“Menggunakan van yang telah diubah suai dengan lif hidraulik, kami akan pastikan golongan sasaran khususnya komuniti berkerusi roda dapat bergerak dengan lebih selesa seperti orang lain,” katanya
Dalam pada itu, Rapid Bas turut memperkenalkan kaedah pembayaran tambang tanpa tunai di mana para penumpang Rapid Mobiliti boleh membuat pembayaran dengan mengimbas kod respons pantas (QR) yang dipaparkan di dalam kenderaan.
“Namun, para penumpang masih boleh membayar dengan tunai sekiranya mereka tidak mempunyai kemudahan kod QR tersebut,” jelasnya.
Perkhidmatan ini meliputi Shah Alam, Kajang, Seri Kembangan, Cheras, Subang Jaya, Petaling Jaya, Ampang, Selayang, Kuala Lumpur bagi Lembah Klang.
Bagi penumpang di Pulau Pinang, buat masa ini, Rapid Mobiliti hanya ditawarkan untuk kawasan-kawasan di bahagian pulau.
Sebarang maklumat lanjut sila layari laman media sosial Rapid KL @myrapid (Facebook) dan @myrapidkl (Instagram) manakala Rapid Penang @rapidpgfans (Facebook) dan @myrapidpg (Instagram). –UTUSAN










