TELUK INTAN: Seorang peniaga durian di sini mampu menjual sehingga 2,000 kilogram durian setiap hari ekoran permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
Zulkifli Fudzi, 55, yang berniaga di Jalan Maharajalela di sini berkata, dia mendapat bekalan daripada pembekal di Batu kurau, Kuala Kangsar dan Tapah yang ketika ini mengalami musim luruh.
Menurutnya, dia menjual pelbagai jenis durian seperti durian bukit, udang merah, duri hitam, durian tembaga dan Musang King.
“Ramai yang datang beli, ada yang makan, ada yang bawa pulang. Suasananya cukup meriah, pelanggan tidak putus-putus datang,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan sambutan pembeli, boleh dikatakan bekalan durian tidak mencukupi kerana permintaan ketika ini terlalu tinggi.
Katanya, walaupun ada jenis durian yang harganya mahal, pelanggan dilihat tidak berkira malah sanggup membayar pada harga tinggi asalkan dapat menikmati durian kegemaran mereka.
“Pelanggan pula bermacam minat, ada yang suka beli durian longgok kerana boleh dapat antara lima hingga tujuh biji selonggok tetapi ada juga yang suka beli secara timbang.
“Sepanjang 12 tahun menjual durian, saya rasa kali ini lebih meriah, raja buah ini semakin ramai penggemarnya,” katanya. –UTUSAN











