SUNGAI BULOH: Jenazah Nur Farah Kartini Abdullah difahamkan akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Lereng Bukit, Miri, Sarawak untuk pengebumian.
Bagaimanapun, keputusan akhir pengurusan jenazah belum diputuskan ahli keluarganya memandangkan mereka masih menunggu keputusan daripada ibu Allahyarham sendiri.
Difahamkan, keluarga sedang dalam proses mendapatkan tiket penerbangan ibunya ke Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, bekas kakak iparnya, Nor Amidah Mohd. Ali berkata, kali terakhir dia menghubungi Nur Farah Kartini adalah pada 5 Jun lalu.
“Ketika itu dia memaklumkan kepada saya dia tercicir dompetnya, saya tanya hilang di mana tapi tiada jawapan daripadanya,” katanya.
Menurutnya, walaupun sudah berpisah dengan suaminya, namun hubungan dia dengan Nur Farah Kartini sangat baik memandangkan mangsa adalah satu-satunya anak perempuan bongsu daripada tujuh beradik.
“Dia seorang sahaja anak perempuan dalam keluarga dia dan sangat bertanggungjawab.
“Selepas tamat pengajian tahun lalu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dia nekad bekerja sambilan di Semenanjung untuk membantu ibu dan neneknya di kampung,” katanya yang turut terkejut dengan penemuan mayat bekas adik iparnya itu.
Terdahulu, media melaporkan lelaki yang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah adalah teman lelakinya. – UTUSAN










