MELAKA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mengesahkan belum menerima surat jawapan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis berhubung pengumumannya menyertai Pas sebelum ini.
Yang Dipertua DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum berkata, status kerusi berkenaan tetap akan diputuskan walaupun Muhammad Jailani memilih untuk berdiam diri, selepas surat rasmi yang menuntut jawapan dalam tempoh 14 hari dihantar kepadanya 19 Julai lalu.
Beliau berkata, Muhammad Jailani diberi masa sehingga 8 Ogos ini untuk membuat pengesahan bahawa dirinya telah menyertai Pas dan bergelar wakil rakyat di blok pembangkang.
“Saya hantar surat pada 19 Julai dan dia (Muhammad Jailani) kena jawab sebelum Jumaat minggu depan. Jadi saya kena memikirkan apa yang harus dibuat selepas itu walaupun tanpa alasan daripada beliau,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kerusi DUN Rembia berkemungkinan tidak dikosongkan kerana Barisan Nasional (BN) Melaka terutamanya UMNO tidak bersedia berdepan pilihan raya kecil (PRK).
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, isu itu sepatutnya boleh dijadikan alasan oleh kepemimpinan kerajaan negeri untuk mengadakan PRK, iaitu sebagai medan terbaik menguji tahap penerimaan rakyat terhadap mereka memandangkan tempoh penggal DUN Melaka bakal genap tiga tahun pada November ini.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas berkenaan surat jawapan berkenaan, Muhammad Jailani yang dihubungi sejak minggu lalu tidak menjawab panggilan telefon. – UTUSAN










