Jagdeep diberi cuti, spekulasi jawatan tak pernah dibincang - Kon Yeow

Jagdeep diberi cuti, spekulasi jawatan tak pernah dibincang – Kon Yeow

JAGDEEP SINGH DEO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menjelaskan, spekulasi bahawa akan berlaku pertukaran jawatan Timbalan Ketua Menteri II yang kini disandang Jagdeep Singh Deo tidak pernah dibincangkan.

Sebaliknya, Kon Yeow berkata, Jagdeep telah berjumpa dengannya pada 19 Julai lalu bagi mengemukakan surat permohonan cuti untuk kelulusan mendapatkan rawatan kesihatan.

“Sebagaimana penjelasan beliau (Jagdeep), tujuan permohonan cuti itu ialah untuk membolehkannya menjalani pemeriksaan dan berkemungkinan memerlukan prosedur pembedahan pada kaki kiri yang memperuntukkan kepakaran serta pemeriksaan lanjut daripada pakar perubatan pada kadar secepat mungkin.

“Berhubung spekulasi bahawa akan berlakunya pertukaran jawatan yang disandang beliau kini, ia tidak pernah dibincangkan sebelum ini,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, timbul spekulasi bahawa Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat diminta bercuti daripada menjalankan peranannya dalam majlis eksekutif negeri.

Bagaimanapun, Jagdeep menolak dakwaan tersebut dan menyatakan bahawa dia memohon cuti bagi mendapatkan nasihat mengenai beberapa masalah kesihatan dialaminya di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, setelah mempertimbangkan penjelasan serta tujuan permohonan cuti oleh Jagdeep, beliau telah memberi kelulusan cuti selama 11 hari bekerja bermula semalam sehingga 5 Ogos 2024 sebagaimana yang dipohon.

CHOW KON YEOW

“Saya dimaklumkan bahawa Jagdeep juga sudah mula menerima rawatan yang diperlukan semalam.

“Dengan ini, saya dan seluruh jentera barisan kepimpinan kerajaan negeri mendoakan supaya Jagdeep cepat sembuh dan kembali bersama-sama meneruskan agenda pembangunan negeri demi kepentingan seluruh rakyat Pulau Pinang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN