Isu HRD Corp: SPRM panggil pihak berkaitan minggu depan

Isu HRD Corp: SPRM panggil pihak berkaitan minggu depan

HISHAMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka memanggil pihak berkaitan untuk dirakam keterangan berhubung isu Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp.) minggu depan.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, setakat ini pihaknya masih meneliti dokumen yang diperoleh. 

“Pihak kami (SPRM) sedang mengkaji dokumen-dokumen yang diserahkan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma). 

“Rakaman percakapan dibuat selepas ini, kemungkinan minggu depan akan mula memanggil pihak-pihak berkaitan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Khamis lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan, sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

Berikutan itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mengarahkan Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood membuat laporan kepada SPRM selaras dengan syor Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi di dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024 dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Steven Sim menegaskan kementeriannya tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.

Semalam, Khairul Dzaimee dilaporkan berkata, laporan itu diserahkan kepada SPRM pada pukul 11 pagi selaras syor dikemukakan dalam LKAN supaya kementerian melaporkan kepada agensi penguatkuasaan berkaitan. 

“SPRM beri jaminan siasatan adil dan profesional akan dilaksana segera (berhubung isu ini),” katanya.

Ditanya terdapat pegawai HRD Corp digantung susulan penemuan LKAN, Khairul Dzaimee memaklumkan tindakan itu hanya dilakukan sekiranya pihak kementerian menjalankan siasatan dalaman terhadap kes berkenaan. 

“Oleh kerana ini siasatan oleh SPRM, tidak perlu mana-mana pegawai ditahan tugas atau digantung sementara,” katanya.

SPRM juga akan meneliti keseluruhan dokumen bagi menentukan sama ada wujud sebarang elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa di bawah Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN