PETALING JAYA: Pas memberi bayangan mungkin tidak dapat bersama Gerakan untuk mengharungi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) selepas kecewa dengan pendirian ‘rakan kongsinya’ itu dalam isu derma syarikat arak kepada sekolah.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shari berkata, pendirian rasmi Gerakan berhubung isu tersebut sangat mengecewakan pihaknya.
“Jika inilah yang selalu ditonjolkan oleh Gerakan, PRU16 nanti tidak mustahil kita tidak boleh bersama dalam satu ikatan politik,” katanya di laman Facebook miliknya malam tadi.
Semalam, media melaporkan bahawa, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau mengeluarkan kenyataan syarikat berkaitan arak atau rokok tidak dihalang untuk memberi dana kepada sekolah aliran Cina.
Dakwanya, ini kerana sekolah aliran Cina selama ini tidak diberikan dana mencukupi oleh Kerajaan Pusat untuk beroperasi selama ini.
Jelas beliau, segala fasiliti dan kemudahan yang disifatkan terbaik yang dimiliki sekolah aliran Cina ketika ini adalah hasil sumbangan dana pihak luar bukan sahaja daripada syarikat-syarikat besar, malah golongan peniaga kecil dan penjaja.
Kenyataan Dominic dilihat senada dengan seterunya iaitu iaitu Pengerusi DAP, Lim Guan Eng turut membidas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya tidak menjadi ‘Menteri Pendidikan Pas’ kerana pendirian tegas KPM tidak membenarkan sekolah menerima dana daripada syarikat berkaitan arak, rokok dan judi.
Polemik berhubung isu derma syarikat arak timbul susulan tularnya gambar satu majlis amal anjuran sebuah sekolah rendah Cina membabitkan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Aiman Athirah pada majlis itu dilihat turut bergambar bersama replika cek yang memaparkan logo sebuah syarikat arak.
Majlis tersebut dirasmikan Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pelancongan Selangor, Ng Suee Lim selain turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sungai Pelek, Lwi Kian Keong.-UTUSAN











