NIBONG TEBAL : Institut Sukan Negara (ISN) kini sedang melihat keperluan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam mensyaratkan prosedur keselamatan di semua tempat latihan khususnya melibatkan sukan badminton.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ia susulan insiden pemain badminton muda China, Zhang Zhi Jie yang meninggal dunia selepas rebah di gelanggang semasa Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia pada Ahad lepas.
“Sukan badminton sangat ‘stressful to the body’ (memberi tekanan kepada tubuh) dan bukan semua orang boleh main dengan selesa.
“Jadi, dalam hal ini, ISN sedang meneliti perkara tersebut untuk dibawa kepada perbincangan dengan pihak PBT. Kita syaratkan mereka (PBT) ada ada mesin AED (peranti defibrillator luaran automatik)
“Setakat ini, bukan semua PBT ada syarat tersebut. Walaupun ada syarat (dipenuhi), mereka kena ada pegawai terlatih di situ untuk menggunakannya jika berlaku sebarang kecemasan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa menghadiri Program Kayuhan Komuniti Sihat sempena kempen PRK Sungai Bakap di Sungai Kechil, di sini malam tadi.
Mengulas mengenai kemungkinan padang Stadium Bukit Jalil akan kembali terjejas susulan penganjuran konsert penyanyi antarabangsa, Bruno Mars September depan, Hannah memberitahu, perkara itu tidak mungkin berlaku buat masa ini.
“Untuk konsert di Stadium Bukit Jalil, memang saya dah letak moratorium, tak boleh bina apa-apa struktur atas rumput. Kalau mereka (penganjur konsert) nak bina pentas, perlu dibuat atas trek, bukan rumput.
“Moratorium kita sudah keluarkan, jadi, semua konsert sekarang memang tak ada di atas padang,” kata beliau.-UTUSAN










