KUBANG PASU: Kementerian Pendidikan Tinggi mengekalkan insentif RM20,000 untuk atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) edisi ke-6, tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, langkah tersebut dianggap sebagai cabaran kepada semua atlet untuk mempamerkan aksi terbaik, sekali gus mencatat sejarah baharu kejohanan.
Katanya, setakat lima edisi lalu, belum ada mana-mana atlet mampu berbuat demikian meskipun kejohanan tersebut turut disertai oleh atlet kebangsaan.
“Insentif ini dikekalkan kerana sejak temasya SUKIPT diadakan, belum seorang pun atlet yang mampu memecahkan rekod kebangsaan. Oleh itu saya cabar kontinjen-kontinjen dan para atlet untuk mempamerkan prestasi terbaik dan merebut peluang keemasan ini,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Mustapha Sakmud pada Majlis Pelancaran SUKIPT 2024 di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.
Kejohanan yang bakal berlangsung antara 6 hingga 14 September di UUM itu nanti akan disertai lebih 6,000 atlet mewakili 74 kontinjen dari seluruh negara bagi merebut 233 pingat emas.
Kali terakhir kejohanan itu diadakan adalah pada 2022 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak yang menyaksikan Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi juara keseluruhan.
Zambry berkata, insentif lain yang turut menanti para atlet termasuklah wang tunai berjumlah RM3,000 bagi olahragawan dan olahragawati SUKIPT 2024.
“Pasukan terbaik lelaki dan wanita pula akan menerima RM7,000. Selain itu, pemain yang berjaya melakukan ‘hole in one’ dalam sukan golf akan ditawarkan wang tunai berjumlah RM1,000,” katanya. -UTUSAN











