MARANG: Seorang ibu yang masih dalam pantang hanya mampu memeluk tiga anaknya ketika sebahagian atap rumah mereka diterbangkan ribut di Kampung Surau Haji Said, Seberang Marang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, Siti Aishah Mohamed, 24, bersama bayinya, Muhammad Zayyad Zafran Kamarul Bahrin, 37 hari, serta dua lagi anaknya, Nur Aleesya Ammara, 3, dan Muhamman Rayaan Rizqi, 5, yang ketakutan tidak dapat melakukan apa-apa kecuali berdoa agar mereka selamat.
Siti Aishah berkata, sebelum kejadian, dia dan suami, Kamarul Bahrin Kamarulzaman, 28,
berada di dalam rumah sambil berbual bersama lebih 10 tetamu secara kebetulan menziarahinya kematian abangnya, Ahmad Firdaus Mohamed, 36, yang baru selesai dikebumikan.
Menurutnya, dia membawa anak-anaknya di tempat lebih selamat di dalam rumahnya untuk mengelakkan ditimpa serpihan atap dan kayu yang diterbangkan angin kencang.
“Suami saya selepas itu membawa saya dan anak-anak turun dari rumah dan masuk ke dalam kereta yang diletakkan di pekarangan rumah kerana bimbang ribut tersebut semakim buruk.
“Beberapa tetamu dalam rumah saya juga menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah setelah mendapati rumah saya bergegar ditimpa angin kencang,” katanya
Siti Aishah berkata demikian ketika ditemui selepas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melawat mangsa ribut di Kampung Surau Haji Said, Seberang Marang di sini, hari ini.
Tambahnya, dia bersyukur ahli keluargannya dan tetamu yang berada dalam rumahnya terselamat dalam kejadian ribut yang berlaku kira-kira 10 minit.
Sementara itu, Ahmad Samsuri pula memberitahu, sebanyak 96 rumah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Redang di sini mengalami kerosakan dalam kejadian ribut itu.
Bagaimanapun, katanya, nilai keseluruhan kerugian mangsa dalam.kejadian ribut itu masih dalam siasatan.
“Kebanyakan mangsa ribut telah menerima bantuan awal untuk memperbaiki kerosakan rumah yang kebanyakannya melibatkan bahagian bumbung,” – UTUSAN










