Hutan simpan Selangor terus diceroboh

Hutan simpan Selangor terus diceroboh

AKTIVIS alam sekitar meninjau kawasan hutan yang ditebang bagi pembinaan jalan menghubungkan Puncak Perdana dengan Setia Alam di Shah Alam, Selangor. – ihsan AKTIVIS SACF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pemeliharaan hutan simpan secara keseluruhan 31.7 peratus di Selangor terus menimbulkan persoalan apabila terdapat projek-projek pemba­ngunan dan perlombongan di­dedahkan menyebabkan sebahagian kawasannya semakin me­ngecil.

Malah, taburannya juga di­dak­wa tidak seimbang menye­babkan sebilangan besar kawa­san-kawasan pesat di negeri ini berdepan ancaman alam sekitar seperti bencana banjir dan tanah runtuh akibat kekurangan kawasan tadahan air.

Selain itu, kawasan hutan simpan seperti di bandar raya ini, Petaling Jaya dan Puchong didakwa semakin terhakis akibat pelbagai pembangunan termasuk infrastruktur yang dikatakan tidak terancang dengan baik.

Situasi sedemikian menye­babkan kawasan tadahan hu­jan semakin mengecil sehing­ga menimbulkan pelbagai ancaman bencana alam termasuk banjir akibat limpahan air yang berlebihan tanpa penyerapan.

PETA, label hijau menunjukkan sebahagian lembangan HSKBC sementara label merah pula merupakan kawasan SACF yang semakin terancam di Shah Alam Selangor.

Hal tersebut dinyatakan Pre­siden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Da­mi­en Thanam Divean yang men­dakwa terdapat kawasan-kawasan hutan simpan di ne­geri ini dalam pemerhatiannya berdepan ancaman kritikal.

“Jumlah 31.7 peratus itu cuma terhad di kawasan-kawasan ter­tentu dan tidak terdapat di tempat-tempat lain. Apakah kawasan seperti Subang Jaya, Damansara, Puchong dan tempat lain yang pesat dengan pemba­ngunan tidak banjir?

“Paling ketara di Klang dan Shah Alam sendiri termasuk di Persiaran Mokhtar Dahari yang kini kerap berlaku banjir berikutan kawasan-kawasan hutan yang sepatutnya menjadi tempat menyerap curahan hujan atau tadahan air semakin sempit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Diancam pembangunan komersial

Tambahnya, ancaman juga dilihat berterusan berlaku ter­utama melibatkan pembangu­nan bersifat komersial termasuklah di Batang Kali, Hulu Selangor; Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Kuala Langat; Hutan Simpan Bukit Lagong, Gombak; Ayer Hitam, Puchong dan Hutan Komuniti Shah Alam (SACF), Shah Alam.

“Paling teruk dilihat sekarang adalah di Bukit Lagong, apabila melalui Lebuhraya Guthrie atau Lebuhraya Utara Selatan kawasan bukit yang sudah ‘ditarah’ dan gondol begitu jelas kelihatan.

“Apa yang mengecewakan ada­lah kuari tersebut dalam ka­wasan hutan simpan dan di­berikan lesen oleh kerajaan ne­geri untuk aktiviti perlombo­ngan bagi penghasilan simen. Se­dang­kan bila ia sudah dilombong, hutan tidak lagi boleh di­pulihara di sana.

“Di Batang Kali pula diketahui terdapat projek pembangunan komersial mega hendak dibuat di sana atas alasan Sela­ngor sepatutnya mendapat manfaat daripada pembangunan pelancongan di Genting Highland sebagaimana Bentong, Pahang.

“Sedangkan kawasan tersebut dinyatakan dalam laporan Peni­laian Impak Alam Sekitar (EIA) tidak boleh ada sebarang pembangunan di sana. Insiden tanah runtuh yang berlaku dekat Father’s Organic Farm menyebabkan lebih 30 kematian.

“Sebelum melaksanakan pro­jek di sana kerajaan negeri se­patutnya melihat bencana ta­nah runtuh, banjir lumpur, banjir kilat dan pelbagai ancaman da­lam tempoh dua kebelakang,” jelasnya.

Hutan simpan di Hulu Sela­ngor itu termasuk dalam senarai 26 hutan simpan kekal yang diiktiraf sebagai Hutan Warisan Diraja Selangor oleh Sultan Se­langor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ami­rudin Shari dalam Kajian Se­paruh Penggal Rancangan Sela­ngor 1 (RS1) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini memaklumkan pemeliharaan hutan dan biodiversiti antara elemen dalam teras ketiga RS1 iaitu Pemacuan Kelestarian.

GONDOL sebahagian kawasan hutan SACF ditebang bagi pembinaan jalan menghubungkan Puncak Perdana dengan Setia Alam di Shah Alam, Selangor. – ihsan SACF

Menurutnya, kerajaan negeri menunjukkan usaha yang baik dalam mengekalkan hutan simpanan kekal (HSK), seiring de­ngan aspirasinya untuk menjadi negeri rendah karbon.

“Hutan Warisan Diraja Sela­ngor dan Central Forest Spine Selangor yang baru diwartakan mencerminkan komitmen Sela­ngor untuk menjaga liputan HSK yang kini berada pada tahap 31.7%, di samping mewujudkan lebih banyak kawasan rekreasi untuk dinikmati oleh masyarakat.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang aktif menanam pokok dengan tujuan menanam sejuta pokok sebagaimana yang diumumkan di dalam Belanja­wan Selangor 2024,” katanya.

Kekecewaan, hipokrit

Bagaimanapun, Damien memaklumkan aktivis alam sekitar turut meluahkan kekecewaan mereka dengan tindakan kerajaan negeri yang disifatkan sebagai hipokrit menerusi penguatkuasaan terhadap penceroboh kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS).

“Sebelum ini kerajaan negeri mengambil tindakan terhadap penceroboh kawasan HSKLS berkeluasan kira-kira 11 hektar dan sekitar 1,000 pokok kelapa sawit ditebang.

“Namun, mungkin hasilnya tidak dapat dinikmati oleh kerajaan negeri sebelum ini, ia digantikan dengan penanaman jagung bijirin. Sepatutnya kawasan hutan di situ dipulihkan, apa bezanya dengan apa dilakukan oleh penceroboh yang tanam sawit dan kerajaan tanam jagung atas tanah gazet hutan simpan?” soalnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh perkembangan SACF yang merupakan sebahagian daripada lembangan hutan di Bukit Cerakah berdepan ancaman kemusnahan kawasan hijau sehingga 80 peratus.

“SACF bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar lain membawa isu bantahan penyahwartaan kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) ke mahkamah yang kini berada di Mahkamah Persekutuan untuk menunggu tarikh bicara.

“Antara alasan penghakiman di peringkat Mahkamah Rayuan menyatakan bantahan sepatutnya dibuat pada 2002 sedangkan penyahwartaan dibuat 20 tahun kemudian secara backdated. Pendengaran awam dibuat, sekadar memenuhi syarat sedangkan yang hadir semuanya membantah,” jelasnya.

Tambah Damien lagi, kawasan SACF yang berbaki kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan HSKBC didakwa menjadi semakin kecil apabila terdapat rancangan pembinaan dua batang jalan merentasi bahagian utara dan selatan kawasan berkenaan.

“Kini kerja-kerja pembersihan hutan sudah dibuat untuk membina jalan merentasi kawasan hutan sepanjang hampir 1 kilometer (km) antara Jalan Pulau Angsa, Puncak Perdana dengan Persiaran Setia Duta, Setia Alam. Kelulusan dipercayai diberikan pada 2019.

“Selain itu, terdapat perancan pembinaan sebatang lagi jalan dekat bahagian utara antara Setia Alam dengan Alam Budiman menyebabkan keseluruhan 80 peratus kawasan hutan di SACF yang menerima kunjungan 10,000 orang setiap minggu diancam nyah hutan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×