Hukuman mati ke atas 6 bekas pelajar UPNM adil  - DUPP

Hukuman mati ke atas 6 bekas pelajar UPNM adil  – DUPP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyifatkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tidak berpijak pada realiti dan terlalu terikut-ikut dengan gerakan memansuhkan hukuman mati di sesetengah negara Barat.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, apabila jenayah di negara Barat semakin kejam maka mereka mulai rasa tersepit dan mahu menggunapakai kembali hukuman mati yang dimansuhkan.

Menurut beliau, alasan Suhakam bahawa proses pemulihan lebih utama kepada si pesalah sebenarnya tersasar daripada maksudnya yang sebenar.

Ini kerana, menurut beliau, hukuman mati adalah sebenarnya proses ‘memulihkan’ masyarakat di luar supaya tidak mengulangi jenayah sama menepati prinsip cegah rintang dalam sesuatu hukuman.

“Maka, hukuman mati bagi kesalahan berat dengan beban pembuktian yang sempurna adalah wajar dan memenuhi neraca keadilan.

“DUPP menasihati SUHAKAM supaya lebih teliti dalam mengeluarkan pandangan serta tidak semata-mata berkiblatkan Barat dalam memperjuangkan hak asasi manusia,” katanya di dalam satu kenyataan.

HUKUMAN GANTUNG

Terdahulu, media melaporkan, Mahkamah Ra­yuan Putrajaya menjatuhkan hukuman gantung terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kera­na membunuh rakan sepengajian mereka iaitu Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi dan Muhammad Najib Mohd. Razi.

Tiga lagi ialah Muhammad Afif Najmudin Azahat, Moha­mad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali. Kesemua bekas pelajar itu kini berusia 28 tahun.

Bagaimanapun, Suhakam membantah hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan ke atas enam bekas penuntut UPNM atas kesalahan membunuh Zulfarhan Osman kerana berpandangan hukuman tersebut bukan penyelesaian adil atau berkesan.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, meletakkan suatu pada tempatnya adalah maksud sebenar kepada sebuah keadilan dalam Islam.

Hukuman mati dalam kes bunuh ini terkandung dalam hukuman Qisas iaitu proses balasan balik. Jika memenuhi syarat beban pembuktian, maka ia adalah keadilan sebenar kepada si mangsa, bahkan juga kepada tertuduh.

“Tambahan lagi, dalam Islam juga tertakluk hukuman diyat iaitu bentuk pampasan kepada keluarga mangsa. Malah, meskipun dengan tegasnya dengan pelaksanaan hukuman bunuh ini, Islam juga menyediakan ruang kepada keluarga si mangsa untuk memaafkan si pesalah.

“Kedua-dua perkara ini adalah prinsip perundangan Islam yang kurang diberikan penekanan dalam lunas perundangan sedia ada,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN