KUALA TERENGGANU: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, hubungan semua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) terutama dengan Gerakan dalam keadaan baik ketika ini.
Meskipun terdapat suara-suara ‘perbalahan’ antara Pas dan Gerakan berkaitan sumbangan dana syarikat minuman keras di sekolah Cina, Ahmad Samsuri berkata, situasi itu adalah normal untuk mana-mana pemimpin parti.
Menurutnya, tiada sebarang perbincangan atau agenda kerjasama Pas dan Gerakan timbul buat masa ini.
“Hubungan Pas dengan Gerakan setakat ini masih berjalan seperti biasa, tidak timbul apa-apa (masalah). Kita pun tak ada bincang dalam mesyuarat untuk ambil langkah lain.
“Setakat ni tidak timbul apa-apa agenda untuk dibincangkan (mengenai kerjasama Pas dan Gerakan). Mesyuarat pun belum lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pameran Muto & Kenangan di Muzium Negeri Terengganu dekat Losong di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, setiap gabungan politik pasti mempunyai isu dalaman dan ia diselesaikan mengikut keperluan parti masing-masing.
“Apa yang berlaku dalam keluarga kami, biar kami selesaikan cara keluarga dalam muafakat kami sendiri,” katanya .
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan perlu bertegas dalam isu tersebut dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak.
“Kerajaan perlu kembali kepada polisi dan dasar sedia ada yang diamalkan kementerian sejak berpuluh tahun.
“Negara lain macam Australia pun ada dasar sama, tambahan pula budaya kita dengan isu pendidikan anak-anak muda yang perlu kita tekankan supaya mereka faham mana yang baik dan buruk,” katanya.
Polemik hubungan kedua-dua parti timbul selepas Gerakan mempertahankan isu sumbangan syarikat arak kepada sekolah Cina menyebabkan berlakunya pertikaman lidah antara pemimpin-pemimpinnya. – UTUSAN










