SUNGAI PETANI: Sebuah kereta dipandu seorang lelaki terbabas ke kolam takungan najis ketika dipercayai cuba melarikan diri selepas melanggar sebuah motosikal ditunggang penghantar makanan, semalam.
Bagaimanapun, pemandu kereta Honda Civic berusia 23 tahun itu berjaya ditahan orang ramai sebelum diserahkan kepada polis dalam kejadian di Jalan 10, Taman Seri Wang, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku pada 4.25 petang membabitkan kereta itu dengan motosikal jenis Honda C100.
“Kereta terbabit dipandu secara melulu dan berbahaya dari arah bandar dan apabila sampai di lokasi kemalangan, kenderaan itu telah melanggar penunggang motosikal yang bergerak di kiri jalan.
“Siasatan awal mendapati pemandu itu terlepas simpang sebelum bertindak membelok secara mengejut ke kiri jalan yang merupakan laluan keluar simpang lalu merempuh penghantar makanan yang berada di sebelah kiri laluan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Wan Azharuddin, pemandu terbabit terus memecut laju kenderaannya akibat takut sebelum terbabas ke kolam takungan najis yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kemalangan.
Katanya, penghantar makanan berusia 19 tahun itu mengalami kecederaan di dahi, pipi serta calar pada tangan serta kaki manakala pemandu kereta itu turut cedera di dahi dan belakang badannya.
“Pemandu terbabit telah ditahan untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -UTUSAN











