PETALING JAYA: Helah lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) menyorok di dalam tandas bagi melepaskan diri daripada ditahan tidak berjaya apabila dia diberkas dalam serbuan pusat snuker di Taman Puchong Utama, di sini semalam.
Ketika cuba ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, lelaki berusia lingkungan 20-an itu cuba berdolak-dalih memberi pelbagai alasan.
Namun, pemeriksaan lanjut menemukan barang peribadi miliknya di kaunter premis berkenaan sekali gus membongkar peranannya sebagai pekerja premis.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamaruddin berkata, operasi dijalankan di 14 premis di sekitar Shah Alam dan Puchong bermula pukul 11 pagi.
Menurut beliau, antara lokasi serbuan melibatkan premis perniagaan peralatan perkakasan, kedai gunting rambut, pusat snuker, bengkel, kedai gunting, restoran serta kilang proses makanan.
“Seramai enam PATI termasuk dua wanita yang masing-masing terdiri daripada tiga Indonesia, Myanmar (2) dan seorang Bangladesh merupakan pekerja di pusat snuker, kedai perkakasan dan tukang gunting ditahan.
“Antara kesalahan yang dikesan ialah tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah,” katanya di sini.
Tambahnya, kesemua PATI berusia lingkungan 20 hingga 40-an dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di di bawah Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN










