KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihati lebih berhati-hati menderma terutama kepada individu dan pertubuhan tidak berdaftar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamad Yoosuf berkata, sifat mudah simpati dalam kalangan masyarakat telah diambil kesempatan pihak tidak bertanggungjawab untuk menyeleweng hasil kutipan derma.
Kata beliau, masyarakat sepatutnya perlu memastikan duit sumbangan derma kepada pertubuhan yang didaftarkan dan melakukan proses audit.
“Derma dan sumbangan kini tidak hanya melibatkan bantuan ketika bencana, tetapi turut melibatkan perkara seperti bantuan bayaran yuran guaman, ibadah korban dan lain-lain.
“Masyarakat perlu tahu bagaimana wang derma mereka digunakan dan akaun bank milik pertubuhan yang mengutip derma ini juga perlu menjalani proses audit bagi memastikan wang derma yang diterima disalurkan kepada pihak yang sepatutnya,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.
Khamis lalu, pasangan suami isteri pempengaruh media sosial dipercayai terlibat dalam isu penyelewengan wang kutipan derma direman empat hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan.
Pasangan berkenaan disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam sejak 2020 yang dianggarkan mencecah RM3 juta.
Selain itu, pada 9 Julai, polis menahan seorang lelaki di kediamannya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur dipercayai terlibat dengan penipuan dalam urusan bayaran guaman dan kutipan dana sejak tahun lepas melibatkan kerugian lebih RM140,000. – UTUSAN










