Hakim Mahkamah Syariah perlu berani, tegas adili kes penuh integriti - Utusan Malaysia

Hakim Mahkamah Syariah perlu berani, tegas adili kes penuh integriti

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah merasmikan Bangunan Mahkamah Syariah Taiping hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, para hakim Mahkamah Syariah hendaklah memiliki iltizam, keberanian, ketegasan mengadili kes-kes dengan penuh berintegriti, tanpa kelengahan, tanpa gentar dan tanpa pilih kasih.

Titah baginda, ini supaya tidak mencalarkan kepercayaan masyarakat terhadap mahkamah.

“Paduka ayahanda beta, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (Marhum Al-Maghfur-Lah) dalam artikel bertajuk ‘Supremacy of the Law’, in Constitutional Monarchy, Rule of Law and Good Governance (2004) menulis kenyataan berikut:

“Dalam perkara berkaitan badan kehakiman, persepsi awam terhadap badan kehakiman sangatlah penting. Badan kehakiman kehilangan nilai dan perkhidmatannya kepada masyarakat, jika tidak ada keyakinan orang ramai terhadap keputusan yang dilakukan oleh mahkamah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Perasmian Bangunan Mahkamah Syariah Taiping hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, undang-undang yang digubal hendaklah bersifat dinamik dan bertenaga supaya kekal relevan serta berupaya memenuhi keperluan dan situasi serta cabaran semasa.

Titah baginda, amatlah penting dilakukan kajian, mengenal pasti klausa-klausa dalam enakmen yang tidak lagi relevan atau didapati kurang sesuai dengan perkembangan semasa bagi meningkatkan kualiti sistem perundangan dan kehakiman syariah di negeri Perak.

“Klausa-klausa dan peraturan-peraturan sedia ada yang dilihat boleh menghalang, melewatkan, dan menggelincirkan proses keadilan, merangkumi kaedah penguatkuasaan dan hukuman yang dikenakan, perlu dimusyawarahkan untuk dilakukan pindaan dan penambahbaikan” titah baginda.

Selaras dengan perkembangan teknologi masa kini, Sultan Nazrin bertitah, kualiti penyampaian perkhidmatan Mahkamah Syariah perlu dipertingkatkan dan teknologi digital perlu dimanfaatkan bagi memperluas dan mempermudah akses anggota masyarakat kepada sistem keadilan Syariah.

Baginda bertitah, teknologi pendaftaran elektronik secara dalam talian dengan kemudahan pembayaran Internet tanpa tunai perlu dioptimumkan pelaksanaannya di Mahkamah Syariah.

“Untuk itu, Beta menyeru kepada Kerajaan Beta mempertimbangkan peruntukan dalam belanjawan negeri pada tahun 2025.

“Ini membolehkan Mahkamah-mahkamah Syariah di Negeri Perak dilengkapi dengan kemudahan rakaman audio perbicaraan dan sistem transkrip rakaman perbicaraan agar dilihat tidak tertinggal jauh ke belakang berbanding kemudahan peralatan yang dilengkapi di Mahkamah Sivil.,” titah baginda..- UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN