PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disaran mengehadkan pengeluaran Akaun Fleksibel (Akaun 3) kepada RM5,000 setahun bagi setiap pencarum supaya dapat mengawal perbelanjaan ahlinya yang boleh memberi kesan kepada peningkatan kadar inflasi.
Kesan jangka pendek ini boleh berlaku sekiranya 3.8 juta pencaruman yang memilih mempunyai amaun pemula di dalam Akaun Fleksibel mengeluarkan simpanan mereka secara tidak terkawal yang akan meningkatkan kuasa membeli sekali gus mengganggu ekosistem pasaran tempatan.
Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, walaupun pada dasarnya KWSP tidak terjejas dengan pengeluaran sebanyak RM8.9 bilion setakat ini, ia perlu dikawal bagi mengimbangi pasaran tempatan.
“Pengeluaran secara tidak terkawal oleh pencarum dibimbangi akan menyebabkan mereka berbelanja secara berlebihan sehingga mengganggu ekosistem pasaran tempatan.
“Kuasa membeli yang terlalu tinggi juga akan mengakibatkan lonjakan inflasi harga barangan di pasaran tempatan jika wang diperoleh dibelanjakan secara berlebihan pada satu-satu masa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Sejumlah RM8.9 bilion dikeluarkan menerusi Akaun Fleksibel KWSP melibatkan seramai 3.4 juta ahli di bawah usia 55 tahun, bersamaan 26.2 peratus daripada 13.1 juta ahlinya.
Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagaimanapun pengeluaran menerusi inisiatif terbaharu itu tidak memberi kesan ketara kepada KWSP kerana jangkaan jumlah pengeluaran oleh ahli adalah dalam lingkungan alokasi tunai dan pasaran wang kumpulan itu.
Beliau berkata, jangkaan awal pengeluaran Akaun Fleksibel pada tahun pertama adalah sekitar RM15 bilion, iaitu kira-kira 0.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal Malaysia untuk 2023.
Mengulas lanjut, Bashir Ahmad berkata, pada dasarnya, pengenalan Akaun Fleksibel bertujuan membantu perbelanjaan atau menampung kos sara hidup pencarum selain digunakan untuk tujuan kecemasan.
Bagaimanapun, beliau berkata, adalah lebih praktikal sekiranya pengeluaran tersebut dihadkan kepada RM5,000 setahun bagi setiap pencarum supaya tidak berlaku pengeluaran tidak terancang.
“Pada masa sama, ia juga akan mendidik pencarum supaya membuat pengeluaran secara terancang dan digunakan pada waktu tertentu seperti musim kembali ke sekolah, kecemasan dan sebagainya,” katanya.
Bagaimanapun, Bashir Ahmad mengakui pengeluaran Akaun Fleksibel pada masa sama menyumbang kepada perkembangan ekonomi tempatan kerana adanya sokongan kewangan tambahan sebanyak RM8.9 bilion.
“Ia akan membantu menambah baik pendapatan negara lebih-lebih lagi jika ia dibelanjakan di pasaran tempatan yang akan menyebabkan peningkatan permintaan dan bekalan,” katanya. – UTUSAN










