Guru bermasalah tidak naik gred

Guru bermasalah tidak naik gred

ANWAR Ibrahim (tengah) bergambar bersama sebahagian peserta yang menghadiri Majlis Sambutan Jubli Emas Penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di Bangi, Selangor, semalam. Turut kelihatan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Presiden NUTP, Aminudin Awang. - MINGGUAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Pengecualian kenaikan gred secara automatik (time-based) perlu dikenakan terhadap warga pendidik yang mempunyai masalah disiplin dan cuai dalam melaksanakan tanggungjawab.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menerima prinsip kenaikan pangkat mengikut waktu tetapi tidak semua warga pendidik boleh menikmatinya terutama golongan guru bermasalah.

Beliau berkata, terdapat segelintir guru yang bermasalah sehingga mencemarkan nama baik profesion tersebut.

“Kalau disiplinnya lemah, dalam setahun banyak hari tidak pergi ke sekolah. Saya nak batalkan (kenaikan gred tersebut). Kenaikan pangkat automatik daripada prinsipnya (dibenarkan) tetapi dikecualikan bagi yang cuai atau melanggar disiplin.

“Ada guru prestasinya sangat lemah, jadi kita harus teliti ini tetapi saya percaya 90 peratus (guru) tidak mempunyai masalah,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Jubli Emas Penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di sini, semalam.

Pada 2009, kerajaan memutuskan pelaksanaan kenaikan pangkat secara automatik bagi pegawai kumpulan pelaksana yang sudah berkhidmat 15 tahun dan lebih dalam skim perkhidmatan semasa secara Khas Untuk Penyandang (KUP).

Dalam pada itu, Anwar berkata, skim gaji perkhidmatan awam akan diumumkan dalam masa terdekat dan dimuktamadkan semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini.

Bliau berharap penambahbaikan skim gaji itu turut meningkatkan khidmat penjawat awam.

“Orang kena tunggu berjam-jam di pejabat-pejabat kerajaan, sebaiknya hentikan amalan sebegini. Kerja dengan sebaik mungkin, begitu juga dengan guru.

“Saya tumpu soal skim perkhidmatan kerana ia adalah skim yang besar, mencecah lebih RM10 bilion setahun. Saya harap dengan ini ada perubahan, maknanya sebaik sahaja kita meluncurkan program ini dan umum untuk pelaksanaan untuk Disember ini. Saya (nak) tengok mutu pendidikan (serta) khidmat ada perubahan,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri memberi jaminan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bakal diumumkan kelak adalah antara yang terbaik diperkenal kerajaan.

Katanya, beliau dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mencari jalan bagi memastikan perkara tersebut dapat direalisasikan demi kebajikan penjawat awam walaupun kerajaan menanggung hutang mencecah RM1.5 trilion.

“(Mengenai) skim pelarasan gaji perkhidmatan awam, ada beberapa pihak yang kritik, ada ahli ekonomi kata Anwar tidak praktikal (dan) dia nak popular (kerana) walaupun wang tidak ada, dia (tetap) nak naikkan juga.

“Ada satu pihak lagi (mengatakan) tidak mungkin berlaku. Saya nak pastikan bila saya umum itu, sebaik mungkin segala kelompongan dapat diperbaiki,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, penguasaan bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan dalam kalangan rakyat bagi melonjakkan ekonomi dan pertumbuhan negara.
Menurut beliau, penguasaan bahasa Inggeris diperlukan dalam aspek pendigitalan, peralihan tenaga dan kecerdasan buatan (AI).

“Maka penguasaan bahasa Inggeris itu harus jauh lebih baik daripada sekarang. Arahan saya kepada Kementerian Pendidikan (KPM), saya tidak mahu lambat dan lewat dalam hal ini.

“Mesti ada kerangka cepat (dan) segera untuk tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris supaya negara ini dapat bersaing dengan mana-mana negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri mengingatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan dasar pendidikan negara jangan dipertikaikan.

“Selagi semua rakyat terima prinsip ini, soal bahasa Cina, Tamil atau Arab mahupun bahasa-bahasa lain nak diperkembangkan, silakan. Kita kena beri dukungan dan ruang sebaiknya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN