KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggugurkan empat pertuduhan rasuah melibatkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang.
Representasi itu diserahkan pada Jun lalu atas alasan terdapat percanggahan keterangan saksi utama pendakwaan, Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd., Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli kepada mahkamah dengan keterangannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penipuan ahli perniagaan G. Gnanaraja melibatkan wang berjumlah RM19 juta.
Prosiding mencabar kredibiliti saksi itu dijadual bersambung 19 Julai ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi. Keputusan representasi dijangka diumumkan pada hari tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengesahkan menerima representasi berkenaan ketika dihubungi.
Setakat ini, pihak pendakwaan telah memanggil lebih 30 saksi memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada Julai 2021.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 63, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk menerima suapan berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.
Guan Eng didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – UTUSAN










