PETALING JAYA: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mendesak kerajaan memberi penjelasan berhubung dakwaan kesilapan pengisian markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Timbalan Presiden GPMS, Ahmad Thibri Mashri berkata, isu tersebut sudah timbul beberapa hari namun tiada sebarang penjelasan dibuat Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Isu ini pastinya bukan isu remeh yang boleh dikesampingkan begitu sahaja kerana terdapat sejumlah besar pelajar cemerlang yang terkesan dan teraniaya, antaranya para pelajar tahfiz daripada sekolah terbaik di Malaysia iaitu Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP).
“Bayangkan ketidakadilan yang berlaku apabila para pelajar yang terkesan terpaksa bersaing untuk kemasukan ke Universiti Awam (UA) semata-mata berdasarkan 90 peratus markah merit keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan pelajar lain yang mempunyai kelebihan maksimum 10 peratus markah merit tambahan daripada PAJSK,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, tular hantaran ‘Rezeki Tertangguh Berjemaah’ dalam media sosial oleh seorang wanita yang dikatakan ibu kepada pelajar dari sekolah tahfiz berkenaan itu yang mendakwa, anaknya gagal mendapat pilihan pertama UPUOnline menerusi permohonan keputusan SPM 2023.
Dalam kongsian itu, kegagalan si anak mendapat pilihan pertama didakwa disebabkan markah PAJSK anaknya kosong.
Ahmad Thibri berkata, terdapat dakwaan bahawa kesilapan itu berpunca daripada penukaran sistem di KPM.
“Jika ternyata benar, saya percaya kesilapan ini sangat tidak patut berlaku. Ini ada kecuaian dan pengabaian tanggungjawab yang memangsakan masa hadapan anak-anak bangsa.
“Saya minta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek segera tampil memberi penjelasan, penyelesaian dan seterusnya mengambil tanggungjawab penuh,” tegasnya.










