Gerakkan agensi pusat bantu mangsa terjejas banjir

Gerakkan agensi pusat bantu mangsa terjejas banjir

MOHD. Shafie Apdal (kiri) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk Kampung Sembulan di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pimpinan negeri Sabah harus bertindak bijak dalam mendapatkan bantuan agensi-agensi pusat dengan menggerakkan pasukan tentera dan bomba dalam membantu mangsa yang terjejas banjir.

Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apadal berkata, pimpinan negeri seharusnya mendapatkan bantuan agensi-agensi pusat seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu penduduk membersihkan rumah-rumah yang terjejas banjir.

Presiden Parti Warisan (Warisan) berkata, semasa menjadi menteri dulu, beliau menggerakkan agensi pusat untuk membantu rakyat dalam membina rumah dan sebagainya.

Sekiranya kawasan yang terjejas banjir tidak mempunyai air maka, gerakkan lori-lori Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menghantar air, tidak perlu menggunakan lori-lori tangki air swasta yang memerlukan perbelanjaan tambahan.

“Kita boleh jimatkan perbelanjaan kerajaan dengan menggunakan lori tangki bomba mahupun agensi-agensi lain yang mempunyai lori yang boleh menghantar air ke kawasan yang terputus bekalan air akibat banjir.

“Bayangkan hari ini di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pun ada masalah air, mahasiswa dituduh tidak ada disiplin dan disiasat. Jadi, saya harap perkara sebegini tidak berlarutan,” katanya.

Mohd Shafie berkata, beliau sempat berkunjung ke beberapa rumah di Penampang dan penduduk masih membersihkan kesan-kesan lumpur akibat banjir yang berlaku. Malah, bekalan elektrik turut terputus akibat cuaca yang kurang baik.

Justeru, kerajaan perlu mempunyai perancangan yang lebih strategik dalam mengurangkan impak kerosakan akibat banjir di kawasan yang sering dilanda banjir seperti Penampang.

Projek mitigasi banjir perlu disegerakan dan parit-parit yang tersumbat perlu dibersihkan agar air tidak bertakung. Jika ada sistem yang komprehensif, kejadian banjir kilat boleh dielakkan.

Kata beliau, kerajaan perlu ada perancangan yang rapi dalam memastikan ada kesiapsiagaan dalam menyelamatkan nyawa manusia di kawasan terjejas banjir.

Banjir yang berlaku baru-baru ini mengakibatkan ratusan rumah penduduk di Penampang, Putatan, Tuaran, Tamparuli terjejas dan banyak harta benda mereka rosak. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN