KUALA LUMPUR: Gerakan Al-Maunah dipantau polis termasuk menjejaki semula 13 banduan kumpulan itu yang dibebaskan daripada hukuman penjara sejak 2020 bagi mengetahui pergerakan serta aktiviti mereka.
Pemantauan itu dikatakan giat dilakukan selepas kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor, yang mengorbankan dua anggota polis, Mei lalu.
Perkara itu didedahkan oleh seorang bekas banduan Al-Maunah yang enggan namanya disiarkan. Dia mendakwa sejak kes serangan di balai polis tersebut pada 17 Mei lalu, polis semakin kerap mahu mendekati bekas tahanan.
Katanya, sejak kejadian yang mengejutkan negara itu, dia menerima banyak panggilan daripada anggota polis (Unit Cawangan Khas) untuk mengadakan pertemuan.
“Ada seorang anggota polis berpangkat inspektor datang berjumpa saya baru-baru ini. Kami hanya bersembang seperti biasa dalam tempoh setengah jam.
“Mungkin inspektor itu mahu tahu tentang ideologi, fahaman dan sokongan saya ketika ini. Mungkin sekadar penyiasatan awal sahaja. Apa yang berlaku itu kisah 20 tahun dahulu.
“Kami adalah mangsa yang teraniaya. Kalau awak berani, cubalah bongkar kisah sebenar kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya, di sini baru-baru ini.
Katanya, beberapa rakannya yang pernah menyertai al-Maunah dan ketika ini tinggal di Kelantan, Terengganu, Banting di Selangor dan beberapa negeri lain juga memberitahu perkara sama.
Bagaimanapun, katanya, dia dan rakan-rakannya kini menjalani kehidupan biasa dan kisah silam mereka telah tinggal sejarah.
Terdahulu, seramai 13 banduan al-Maunah dilaporkan menjalani hukuman penjara sepanjang hayat di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan selepas didakwa atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai pergerakan itu pada 2000.
Bagaimanapun, selepas 20 tahun meringkuk dalam penjara, tarikh 31 Ogos 2020 menjadi detik bersejarah buat 13 banduan berkenaan yang menjalani hukuman di beberapa penjara apabila Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengurniakan pembebasan awal kepada mereka sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-63.
Selepas gerakan militan di negara reda, negara pada 17 Mei lalu dikejutkan dengan serangan seorang pemuda di Balai Polis Ulu Tiram menyebabkan dua anggota bertugas terkorban.
Pada 19 Jun lalu, ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram dituduh atas sembilan pertuduhan termasuk menggalak dan menanam ideologi kumpulan pengganas Islamic State (IS).
Pada 25 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis memberkas lapan individu tempatan termasuk dua wanita disyaki mempunyai kaitan dengan elemen radikal dan keganasan menerusi operasi di empat negeri pada 22 dan 23 Jun lalu.
Penahanan suspek termasuk seorang bekas pensyarah di salah sebuah universiti tempatan itu dibuat selepas mendapati wujud ancaman terhadap Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan beberapa orang kenamaan serta pimpinan polis. – UTUSAN







