"Kami bukan pengkhianat negara"

Kami bukan pengkhianat negara – Bekas pengikut al-Maunah

Khairul Anuar M. Ariffin menandatangani buku Al-Maunah: Syahid Itu Mahal Harganya yang mengisahkan pembabitan beliau dalam peristiwa rampasan senjata milik tentera di Gerik, Perak, pada 2000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hanya disebabkan percaya kepada guru agama dan mahu mempelajari ilmu persilatan, bekas kumpulan al-Maunah tidak menyangka dia digelar ‘pengkhianat negara’ selepas dipenjara selama 10 tahun kerana terlibat dengan kumpulan berkenaan.

Bagi Khairul Anuar M. Ariffin, dia hanya sedar diperdaya oleh pemimpin kumpulan Al-Maunah, Mohamed Amin Mohamed Razali bagi menceroboh dua kem tentera di Gerik kira-kira 20 tahun lalu selepas diyakinkan ketuanya itu untuk melaksanakan ‘latihan’ bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dedahnya, pada peringkat awal, dia termasuk beberapa lagi ahli kumpulan Al-Maunah tidak mengetahui perancangan Mohamed Amin untuk melakukan pencerobohan berkenaan bagi mencuri kelengkapan persenjataan tentera bertujuan menggulingkan kerajaan secara kekerasan.

Jelas beliau, mereka hanya dimaklumkan oleh Mohamad Amin akan mengadakan pertukaran ilmu dengan pasukan ATM dan mereka akan mengajar selok belok ilmu ketenteraan seperti rakaman video yang ditunjukkan ketuanya itu ketika latihan persilatan.

“Latihan berkenaan dikatakan sebagai proses persediaan ahli Al-Maunah menjadi pejuang-pejuang barisan hadapan yang sentiasa bersiap sedia seandainya berlaku serangan luar yang mengancam keselamatan.

“Sepanjang latihan, Mohamed Amin sentiasa melaungkan semangat jihad dan menanamkan di hati kami kelebihan mati syahid sehingga saya bercita-cita untuk mati syahid dan merasakan insan terpilih berada dalam kumpulan itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Semua pengalaman Khairul Anuar itu dimuatkan dalam sebuah buku yang bertajuk Al-Maunah: Syahid Itu Mahal Harganya yang dilancarkan Ahad lalu.

Setiap detik dan peristiwa diceritakan dengan terperinci dalam buku autobiografi pertama yang ditulis sendiri oleh Khairul Anuar.

“Ini buka pertama yang ditulis saya yang juga pengikut kumpulan Al-Maunah. Proses menyiapkan buku ini sering diganggu memori pahit yang membuatkan saya sebak setiap kali mengingatnya.

“Bukan mudah membukukan kesilapan yang pernah kita lalui selain akan membuka kelemahan dan aib sendiri. Pengalaman menjadi banduan bukan sesuatu hal yang diimpikan oleh sesiapa termasuk saya.

“Dihina, diherdik, ditampar malah dianggap kucing kurap jalanan selayaknya. Walau kita bersalah atau tidak, walau tertipu dan teraniaya. Begitu hakikat keadaaan yang saya tempuh,” katanya.

Dalam kejadian pada 2 Julai 2000, sekumpulan 15 lelaki daripada kumpulan Al-Mau’nah melarikan pelbagai jenis senjata dari dua kem tentera di Grik, Perak, sebelum menyertai 13 orang lagi anggota kumpulan itu bersembunyi di Bukit Jenalik, Sauk.

Kumpulan tersebut menyamar dengan pakaian dan pangkat pegawai kanan tentera serta menaiki tiga unit kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero yang diwarnakan dengan warna hijau serta menggunakan nombor pendaftaran palsu yang bermula dengan huruf ‘Z’ untuk menyelinap masuk ke Kem Kuala Rhui dan Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah di Empangan Temenggor, Gerik, Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN