Gemar mencarut ketika bergurau
Soalan
Ustaz, kebanyakan warganet kini mudah melemparkan kata-kata kesat, mencaci-cerca malah ada yang gemar mencarut dalam media sosial.
Apa hukumnya perbuatan orang yang suka mencarut walaupun dengan niat bergurau?
Paiman Joko
Batu Pahat
Jawapan
Hukum mencaci adalah haram dalam Islam. Sesungguhnya, Allah SWT dan Rasul tidak suka kejian dan kutukan. Maka cacian dalam Islam adalah terlarang walaupun kepada orang bukan Islam walaupun dengan niat bergurau.
Isteri kerap lawan suami
Soalan
Bagaimana hukumnya perbuatan seorang isteri yang suka beribadah tetapi kerap melawan atau derhaka arahan suami atau menyakiti hati suami?
Isteri ingin tahu
Kodiang
Kedah
Jawapan
Keadaan wanita yang kuat ibadat tetapi derhaka kepada suami adalah tidak baik kerana ia menunjukkan kejahilan wanita itu terhadap agama. Dia perlu memperbetulkan kefahamannya bahawa Allah Taala yang menjadikan kebaikan kepada berbakti kepada suami bukan untuk menindas tetapi adalah satu rahmah, maka teruskan ibadat dan perbaiki hubungan dengan suami.
Wang hasil riba
Soalan
Kita selalu diberitahu wang hasil riba boleh digunakan untuk tujuan seperti membina jalan raya dan bina masjid. Betulkah ustaz?
Bang Alim
Kajang
Jawapan
Sekiranya pemberi itu ingin bertaubat daripada hasil tersebut maka pemberian kepada masjid atau badan kebajikan adalah harus kerana dengan cara itulah dia bertaubat.
Orang ramai boleh mengemukakan soalan kepada Ustaz Fauwaz Fadzil dengan menghantar e-mel kepada [email protected]